Salahkah ayah berkahwin semula selepas kematian ibu? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 14 March 2022
Wasiyyah

SALAHKAH AYAH BERKAHWIN SEMULA SELEPAS KEMATIAN IBU?

 

 

 

 

“Ayah tak payahlah susah-susah nak kahwin lagi dengan mana-mana perempuan. Kami mampu jaga ayah.”

 

Kenyataan tegas seorang anak kepada ayah seperti yang diceritakan ayahnya kepada saya. Hj Ali (bukan nama sebenar) seorang pesara Kerajaan hidup bahagia bersama Hjh Maimunah (bukan nama sebenar).

 

Perkahwinan 38 tahun mereka dikurniakan Allah SWT dengan 3 orang anak lelaki. Alhamdulillah kesemua anak mereka berjaya dalam pelajaran dan menjawat pelbagai jawatan penting.

 

Selepas kematian Hjh Maimunah, Hj Ali tinggal berseorangan di rumah mereka di sebuah negeri di utara. Ketiga-tiga anak mereka sudah berkerjaya tetap, berkeluarga dan menetap di Kuala Lumpur.

 

Kegembiraan Hj Ali hanyalah apabila dia berkesempatan bertemu anak dan cucunya 3 kali setahun apabila mereka ada cuti panjang.

 

Rutin kehidupan Hj Ali hanya berkisar kepada aktiviti masjid dan kemasyarakatan di kampungnya sahaja. Untuk makan dan minum pula, Hj Ali hanya makan di warung berdekatan rumahnya.

 

Dia kesunyian dan seringkali merindui saat-saat di mana dia boleh berkongsi cerita dan bermanja dengan Hjh Maimunah. 

 

Namun apabila dia menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan anak salah seorang kariah masjidnya, ia ditentang hebat oleh anak-anaknya.

 

Dari segi hukum Hj Ali sebenarnya tidak perlu pun mendapatkan persetujuan anak-anak kerana itu hak dia untuk berkahwin semula.

 

Namun sebagai ayah yang baik, dia mahu anak-anak menyokong hasratnya supaya urusan itu jadi mudah dan lancar. Dia juga tidak mahu anak-anak berjauh hati dengannya dan berbalah dengan isteri barunya.   


 

ariffinsabirin

 


Hj Ali bukanlah kes pertama seumpamanya yang saya terima, di mana anak-anak menentang keras hasrat ayah untuk berkahwin semula.

 

Sekiranya si ayah berharta, anak-anak akan menjadi sangat defensif kerana sangkaan mereka pastinya wanita yang mengahwini ayah ini mempunyai niat tersembunyi untuk menguasai harta ayah terutamanya jika wanita itu lebih muda dari ayah mereka.

 

Saya perhatikan tentangan anak-anak ini kadang-kadang lebih emosional dari rasional. Mereka merasakan mereka boleh memenuhi semua keperluan ayah terutamanya dari sudut menemani ayah dalam banyak keadaan dan waktu.

 

Mereka lupa bahawa mereka sendiri sibuk kerana berada di kemuncak kerjaya dan mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga sendiri.

 

Hj Ali memberitahu saya, dia mahu berkahwin semula kerana dia tidak mahu menyusahkan anak-anak.

 

Selain mempunyai teman, sekurang-kurangnya anak-anak tidak perlu bersusah-payah memikirkan sakit peningnya.

 

Mereka tidak perlu susah hati memikirkan tentang sama ada ayah mereka ini makan ataupun tidak. Semuanya akan diuruskan oleh isteri barunya.

 

Bukanlah sangat dia mahu berkahwin semula kerana ‘miang’ atau keperluan seks tetapi lebih kepada dia memerlukan ‘companion’ (peneman).


 

ariffinsabirin

 


Dia perlukan teman untuk berbicara dan berkongsi cerita. Anak-anak semuanya sibuk dan hidup berjauhan. Mustahil mereka boleh berada di sisi 24 jam sehari, 7 hari seminggu dan 365 hari setahun.

 

Dalam masa yang sama saya juga faham perasaan anak-anak. Selain daripada isu harta, tentangan itu diberikan kerana mereka juga menyangka ayah sudah lupakan arwah ibu mereka dan  mahu mencari orang lain untuk menggantikan tempat arwah ibu mereka.

 

Memang tiada siapa pun boleh mengganti kasih sayang ibu. Ayah pun jelas dengan keadaan ini. Namun ayah juga mempunyai keperluan emosi dan fizikal.

 

Sebagai anak-anak pastinya kita mahukan ayah kita hidup bahagia dan tenang di dalam sisa-sisa hidupnya. Kita pasti tidak mahu melihat ayah kita hanya sekadar bermurung dan depresi sahaja.

 

Saya pernah melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana ayah yang hidup berseorangan, putus harapan dan  bermurung selepas kematian isterinya sehingga dia sendiri jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia di dalam tempoh dua tahun sahaja dari kematian isterinya. Sebagai anak-anak adakah ini yang kita mahukan? 

 

Saya pernah berhujah isu ini dengan beberapa orang kawan yang menentang hasrat ayah mereka untuk berkahwin semula. Soalan yang saya tanyakan ialah bolehkah anak-anak mendedikasikan keseluruhan hidup mereka 24 jam sehari untuk berada di sisi ayah sedangkan mereka sendiri sibuk dan berada di puncak kerjaya?

 

Sekiranya ayah jatuh di dalam bilik air pukul 3 pagi, adakah anak-anak akan berada di sisi untuk memapah ayah ke bilik tidur? Jika ayah sakit pening di tengah malam, bolehkah anak dengan segera bertindak membawa ayah ke hospital untuk rawatan atau adakah ayah terpaksa menahan sakit selama beberapa jam atau beberapa hari sementara menunggu anak balik ke kampung?

 

Bila ayah teragak nak makan itu dan ini, adakah anak-anak akan memasaknya dengan kadar segera untuk ayah?


 

ariffinsabirin

 


Bolehkah kita memberi masa jika ayah yang keseorangan di rumah menelefon kita pada waktu bekerja untuk bercakap dan bercerita dengan kita berjam-jam lamanya  berkongsi cerita pokok durian di kebun, ayam itik atau bengkak kakinya yang tak surut-surut itu? Jika pasangan anak-anak itu pula mati, adakah mereka boleh hidup bersendirian?

 

Jika jawapan kepada semua soalan di atas ialah ‘tidak’, maka sokonglah hasrat ayah untuk berkahwin semula dan secara ikhlas berkongsilah kegembiraan itu bersamanya.

 

Malah kita sebagai anaklah yang patut berusaha bersungguh-sungguh mengetuai rombongan meminang bakal mak tiri, mengambil inisiatif menguruskan pernikahan mereka dan menanggung semua perbelanjaannya.

 

Bersyukurlah kerana ada wanita lain yang sanggup mengambil-alih tanggungjawab di atas dari kita. Ayah juga akan amat seronok melihat anak-anak bergembira dengan pilihannya.

 

Dia akan dengan senang hati mendoakan kebahagiaan kita. Bukankah doa dan redha itu yang kita mahukan dari ibu bapa kita ?  

 

Di dalam sibuk menentang hasrat ayah, inilah  persoalan yang anak-anak kena jawab dengan ikhlas.

 

Jika harta yang menjadi persoalannya, hubungi sahaja Wasiyyah Shoppe Berhad dan kami boleh membantu ayah membuat perancangan harta secara Syariah dengan tepat supaya anak-anak dan semua pihak mendapat bahagian seperti yang dimaksudkan oleh ayah. Tidak akan timbul isu ibu tiri membolot harta. 


 

Wasiyyah

 


Pesan saya, anak-anak janganlah pentingkan diri sendiri dalam isu ini. Ayah sudah banyak berkorban segala-galanya untuk menjadikan kita insan yang berjaya.

 

Pengorbanan yang dituntut olehnya dari kita ketika ini bukanlah pengorbanan wang ringgit seperti yang disumbangkannya untuk kita.

 

Dia hanya mahukan kita membuka hati untuk menerima pasangan pilihannya dan berkongsi kegembiraannya. Adakah ini pun terlalu susah untuk kita buat? Renungkan.

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

Portfolio Tags