`Sama-Sama Digital' tawar subsidi RM6.4 juta bantu PKS Bumiputera | DagangNews Skip to main content

`Sama-Sama Digital' tawar subsidi RM6.4 juta bantu PKS Bumiputera

 `Sama-Sama Digital'

 

Oleh MUHAMMAD ARIF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Subsidi berjumlah RM6.4 juta disediakan melalui inisiatif 'Sama-Sama Digital' bagi membantu usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Bumiputera yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Inisiatif tersebut adalah usaha syarikat penyedia penyelesaian digital terkemuka Asia Tenggara, Exabytes Network Sdn. Bhd. (Exabytes) bersama Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) menerusi unit tanggungjawab sosial korporatnya iaitu ILTIZAM.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chan Kee Siak berkata, jumlah subsidi sebanyak RM6.4 juta itu akan diagih kepada 2,200 PKS Bumiputera melalui dua jenis tawaran pelan bantuan digitalisasi iaitu All-In-1 Ecommerce Solutions dan All-In-1 Digital Solutions.

"Pelan bantuan All-In-1 Ecommerce Solutions ini disasarkan kepada PKS Bumiputera tanpa kehadiran digital dan dilengkapi dengan kedai e-dagang, gerbang pembayaran, penghantaran, domain, e-mel serta reka bentuk dan pemasangan asas yang ditawarkan pada harga berpatutan di samping subsidi oleh Exabytes, ILTIZAM dan MYNIC.

Pelancaran `Sama-Sama Digital' yang dijalankan secara maya.
Pelancaran `Sama-Sama Digital' yang dijalankan secara maya. 

 

"Pemohon pelan ini hanya perlu membayar RM199 bagi tahun pertama dan RM899 bagi bayaran pembaharuan tahun-tahun seterusnya berbanding harga sebenar sebelum subsidi adalah RM2,399,"jelasnya ketika pelancaran Sama-Sama Digital yang dijalankan secara maya hari ini.

Turut sama dalam pelancaran tersebut ialah Pengarah Perniagaan Digital Adoption, Perbadanan Digital Malaysia (MDEC), Muhundhan Kamarapullai, dan Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan.

Pelan bantuan All-In-1 Ecommerce Solutions
Pelan bantuan All-In-1 Ecommerce Solutions

 

Sama-Sama Digital turut menjalin kerjasama dengan sembilan rakan kongsi iaitu TERAJU, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Precession Capitol Berhad, SME Corp Malaysia, Mara Excellent Venture Sdn. Bhd., Perbadanan Nasional Berhad, Pertubuhan Peruncit Bumiputera, Persatuan Tunas Usahawan Belia Selangor dan Taman Teknologi Malaysia (TPM) selain mendapat sokongan daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MYNIC dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Pelan bantuan kedua yang dikenali sebagai All-In1 Digital Solution pula adalah bagi PKS Bumiputera yang sudah mempunyai perniagaan dalam talian dan berhasrat untuk mengembangkan lagi perniagaan tersebut.

Dengan harga RM2,000, PKS diberi pilihan pakej penyelesaian seperti iklan Google dan Facebook, Microsoft Office 365, mengoptimum enjin gelintar (SEO), Alibaba, pemasaran e-mel, pemasaran SMS dan pelbagai lagi.

Pemohon yang berjaya akan menikmati subsidi hingga RM10,000 daripada ILTIZAM dan MDEC.

Pelan bantuan All-In1 Digital Solution
Pelan bantuan All-In1 Digital Solution

 

Tambah beliau lagi, Sama-Sama Digital merangkumi lima bidang digitalisasi utama '5-0' untuk membantu PKS Bumiputera mendigitalkan pernigaan mereka seperti penciptaan web, kerjasama secara dalam talian, jualan dan pemasaran atas talian, pengurusan pelanggan dalam talian dan analisis data secara dalam talian.

"Adalah mustahak untuk proses digitalisasi dilakukan dengan cekap dan berkesan memandangkan perniagaan mungkin memerlukan masa antara enam hingga 12 bulan untuk kembali pulih.

"Walaupun jumlah jualan borong dan runcit turun 36.6% pada April 2020 berbanding tahun lalu, namun jualan melalui e-dagang  mencatatkan peningkatan 28.9% pada bulan yang sama. Ini menunjukkan lebih ramai yang terlibat dan menyumbang kepada transaksi melalui e-dagang," tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Perniagaan Digital Adoption, Perbadanan Digital Malaysia (MDEC), Muhundhan Kamarapullai berkata, pihaknya berusaha memastikan bahawa Malaysia turut terlibat dalam lonjakan digital Revolusi Industri 4.0 bagi melihat lebih banyak PKS mentransformasi perniagaan secara digital.

Antara pakej yang ditawarkan dalam pelan All-In1 Digital Solution
Antara pakej yang ditawarkan dalam pelan All-In1 Digital Solution

 

"Lebih lima bilion sehari jumlah pengunjung yang buka Google untuk cari produk dan perkhidmatan. Jadi kita lihat kelebihan jaringan pemasaran secara atas talian atau internet ini sebagai satu cara untuk kembangkan semula perniagaan yang terkesan.

"Kita gunakan sosial media untuk cari dan dapatkan pelanggan dan e-dagang ini adalah saluran untuk kita pasarkan produk. Digitalisasi sekarang bukan sahaja merujuk kepada kehadiran dalam talian semata-mata, malah perlu mencari jalan untuk menjimatkan kos, masa dan cekap secara mapan dalam jangka masa panjang," ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Hasnul Fadhly pula berkata, MYNIC bukan sahaja akan membantu usahawan PKS untuk bersiap sedia menghadapi ekonomi digital tempatan, malah ke peringkat global.

"Kita mahukan mereka mendapat lebih peluang dan keuntungan dengan kaedah digital ini. Mereka bukan sahaja dapat mencapai pasaran yang lebih luas, malah turut memperoleh keuntungan jualan dan pendapatan," tambahnya. - DagangNews.com