Samaiden miliki kelebihan dalam ruang tenaga solar, Kenanga Research mulakan liputan dengan TP 71 sen | DagangNews Skip to main content

Samaiden miliki kelebihan dalam ruang tenaga solar, Kenanga Research mulakan liputan dengan TP 71 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Jun - Kenanga Research memulakan liputan terhadap Samaiden Group Bhd. dengan pandangan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) pada 71 sen. 

 

Disenaraikan pada Oktober 2020, Samaiden merupakan penyedia tulen bagi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) solar fotovoltaik dan loji janakuasa. 

 

Menurut firma itu, kumpulan akan meraih manfaat daripada potensi pertumbuhan besar pelaksanaan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia, yang sebahagian besarnya didominasi tenaga solar.

 

Katanya, dalam tempoh jangka masa panjang, kerajaan menyasarkan untuk mencapai 40% daripada kapasiti RE menjelang 2035.

 

"Ini akan menyaksikan kapasiti solar negara mencecah lebih 7.2 GW, mencerminkan program solar yang dipacu kerajaan pada tahun-tahun akan datang.

 

"Dalam hal ini, Samaiden sudah mempamerkan rekod prestasi yang mantap dengan program yang dipacu kerajaan pada masa lalu (memenangi kontrak EPCC di bawah program LSS1, LSS2 dan LSS4).

 

"Oleh itu, kami percaya inisiatif selanjutnya oleh kerajaan untuk memacu penggunaan solar akan terus memberi manfaat kepada Samaiden," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Kerajaan telah menetapkan hala tuju untuk mencapai kapasiti RE sebanyak 31% menjelang 2025 daripada 2% pada 2020. 

 

Bagi mencapai aspirasi ini, sejumlah 1.2 GW daripada tenaga RE baharu diperlukan di Semenanjung Malaysia yang harus dilaksanakan melalui program yang dipacu kerajaan mulai sekarang hingga 2025, di mana lebih 90% daripadanya akan menggunakan tenaga solar. 

 

Ini akan meningkatkan lebih daripada 3 kali ganda kapasiti solar Malaysia kepada 4.7GW, daripada 1.5GW pada 2020.

 

Menurut Kenanga Research, dengan ruang EPCC solar tempatan yang dipenuhi dengan banyak syarikat tidak tersenarai yang lebih kecil, kelebihan daya saing Samaiden termasuklah keupayaan untuk menyediakan perkhidmatan menyeluruh kepada pelanggan, termasuk perundingan bahagian hadapan, jaminan pembiayaan, EPCC serta selepas pentauliahan operasi dan pengendalian (O&M).

 

Selain itu, katanya, Samaiden juga mempunyai rekod prestasi yang berkualiti dan penyampaian projek yang tepat pada masanya, yang mana kedua-duanya mungkin tidak dimiliki syarikat kecil yang lain.

 

Setakat ini, kumpulan sudah menyiapkan lebih 200 projek merangkumi lebih 300MWp daripada pemasangan kapasiti.

 

"Nilai kontrak semasa kumpulan pula berjumlah RM410 juta, menyediakan pendapatan sekurang-kurangnya untuk tempoh 3 tahun lagi. 

 

"Ini dijangka melonjakkan pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22)/FY23, yang kami unjurkan pada RM12 juta/RM15 juta (mencerminkan pertumbuhan 101%/22%)," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu menyukai Samaiden kerana potensi pertumbuhannya memanfaatkan senario RE domestik, serta memiliki barisan pengurusan yang berkelayakan tinggi dan berkebolehan.

 

"Selain itu, kami juga menyukainya dari sudut alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), memandangkan pendedahannya terhadap pembangunan RE negara," tambahnya.

 

Setakat 10.32 pagi ini, harga saham Samaiden susut 1.5 sen atau 2.52% kepada 58 sen dengan 9,100 saham diniagakan. - DagangNews.com