Skip to main content

Sambutan Hari Kebangsaan perlu pembaharuan libat komuniti, keluarga - Annuar

KUALA LUMPUR 1 Julai - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mahu Hari Kebangsaan tahun ini disambut dengan pembaharuan iaitu melibatkan penyertaan di peringkat komuniti dan keluarga supaya tema dan konsep sambutan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ yang diterapkan kali ini, dapat dirakyatkan sepenuhnya.

 

Beliau berkata, ini penting kerana sambutan tidak seharusnya hanya bersifat majlis besar yang dilaksana di peringkat nasional, sebaliknya perlu menonjolkan cara setiap keluarga atau komuniti dari pelbagai latar belakang dalam menyambut hari bersejarah negara. 

 

“Kita juga akan menggerakkan unit-unit yang ada dalam rangkaian komuniti Keluarga Malaysia dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain agar semuanya mengambil inisiatif untuk menggerakkan dan mengadakan sambutan peristiwa ini di peringkat akar umbi.

 

“Malah kalau boleh kita jalankan kempen agar sambutan berlaku juga di peringkat keluarga, mungkin sebagai contoh mewujudkan satu pertandingan di TikTok untuk memperlihatkan cara-cara Keluarga Malaysia kita menyambut Hari Kebangsaan,” katanya, Bernama melaporkan.

 

 

kkomm

 

 

kkomm
Tan Sri Annuar Musa ketika berucap pada majlis pelancaran Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 hari ini.

 

 

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Logo dan Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 di Angkasapuri di sini hari ini. - DagangNews.com