Skip to main content

Samsung diiktiraf Forbes sebagai majikan terbaik dunia

Samsung

SEOUL 16 Okt. - Samsung Electronics Co. (Samsung) berjaya mengungguli kedudukan sebagai majikan terbaik dunia oleh majalah perniagaan terkenal Amerika Syarikat (AS), Forbes.

Kedudukan tempat pertama Samsung dalam senarai Forbes sebagai majikan terbaik di dunia bagi tahun 2020 diikuti oleh syarikat teknologi di AS iaitu Amazon, IBM dan Microsoft.

Menurut laporan portal berita Yonhap, Samsung membuat lonjakan besar berbanding kedudukannya sebelum ini iaitu pada tangga ke-106 pad tahun 2019.

Manakala, pada tahun 2018, syarikat berkenaan berada pada kedudukan ke-76 dalam senarai majikan terbaik Forbes.

Pegawai industri berpendapat, pencapaian itu dilihat sangat bermakna kerana berjaya dicapai dan berlaku di tengah-tengaj penularan wabak COVID-19.

"Meskipun mengutamakan keselamatan pekerjanya, Samsung telah berjaya menguruskan rantaian bekalanya dengan baik untuk menjaga pengeluaran dan penjualannya," jelas pegawai berkenaan.

Senarai majikan terbaik bagi tahun 2020 itu juga turut menyenaraikan syarikat LG pada kedudukan ke lima.

Syarikat pengendali portal terbesar Korea Selatan, Naver dan syarikat kosmetik terkenal, Amorepacific masing-masing berada pada kedudukan ke-37 dan ke-42.

Hyundai Motor pula sebagai syarikat pengahasilan kenderaan terkemuka di Korea Selatan menduduki tangga ke-80.

Jelas Forbes, penilaian yang dibuat itu adalah hasil kerjasama dengan firma penyelidik, Statista untuk meninjau 160,000 pekerja sepenuh masa dan sambilan di 58 buah negara.

Tinjauan dilakukan bermula pada bulan Jun hingga Julai.

Para pekerja diminta untuk menilai tahap kepuasan pengurusan virus termasuk tanggungjawab majikan terhadap pengurusan virus, ekonomi, keserataan jantina dan tanggungjawab sosial. - DagangNews.com