Samsung Engineering bangunkan Projek Ammonia/Hidrogen Hijau H2biscus Sarawak | DagangNews Skip to main content

Samsung Engineering bangunkan Projek Ammonia/Hidrogen Hijau H2biscus Sarawak

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 

KUALA LUMPUR 26 Jan -  Samsung Engineering Co., Ltd, yang merupakan antara syarikat peneraju pengurusan projek serta kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) yang terkemuka di dunia telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membangunkan hidrogen hijau serta projek ammonia di Sarawak.

 

Samsung Engineering berkata, Projek Ammonia/Hidrogen Hijau H2biscus Sarawak (Projek H2biscus) itu akan ditempatkan di Bintulu, akan dibangunkan secara bersama dengan Lotte Chemical, Posco dan SEDC Energy Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).

 

“Projek H2biscus bertujuan untuk menukar kuasa hidro dan gas asli kepada hidrogen hijau/metanol serta hidrogen biru dan menukar hidrogen kepada ammonia, dengan sasaran bagi membekalkan hidrogen serta ammonia ke Korea Selatan dan Sarawak,” kata Samsung Engineering dalam satu kenyataan hari ini.

 

Majlis pemeteraian itu diadakan secara maya dan dihadiri oleh Ketua Penyelesaian Perniagaan Samsung Engineering Park Cheonhong, Ketua Pengurusan ESG Lotte Chemical Kim Yeon-Seop, Pengurus Perniagaan Posco Hydrogen Jo Joo-Ik dan Pengerusi SEDC Tan Sri Abdul Aziz Husain.

 

Di bawah MoU itu, keempat-empat pihak akan mengambil peranan aktif dalam membangunkan keseluruhan kitaran projek termasuk pelaburan langsung, pembinaan, pengangkutan dan penggunaan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Samsung Engineering Sunan Choi berkata, projek itu akan membawa peluang untuk menghasilkan pelbagai produk mesra alam seperti hidrogen hijau, ammonia hijau dan biru, metanol hijau serta pengumpulan dan penggunaan karbon.

 

"Ianya akan menjadi projek contoh bertaraf antarabangsa membabitkan perdagangan tenaga boleh diperbaharui selain sebagai pengangkutan hidrogen antara Korea dan Malaysia termasuk mewujudkan piawaian berkaitan hidrogen bagi kedua-dua negara," katanya.

 

Berdasarkan keputusan kajian kebolehlaksanaan yang dijalankan pada 2021, projek itu dijangka menghasilkan 7,000 tan hidrogen hijau setahun untuk kegunaan di Sarawak, 600,000 tan ammonia biru setiap tahun, 630,000 tan ammonia hijau dan 460,000 tan metanol hijau setahun.

 

Sementara itu, SEDC Energy dalam kenyataan yang sama menjelaskan, projek itu akan memainkan peranan penting dalam sektor tenaga baharu dan skop serta magnitudnya akan meletakkan Sarawak sebagai pemain dalam pasaran global.

 

"Perkongsian dengan Samsung Engineering, Posco dan Lotte Chemical yang akan menjadikan ianya sebagai realiti benar-benar dihargai oleh kami. Kami berharap hubungan ekonomi antara Sarawak, Malaysia dan Korea akan terus berkembang serta mengukuh dalam sinergi dengan matlamat pelepasan karbon bersih global,” katanya. -DagangNews.com