Skip to main content

Sand Nisko Capital beli tanah di Melaka perluas segmen hartanah

Pengarah Urusan Sand Nisko Capital, Emily Sow Mei Chet

 

KUALA LUMPUR 22 April – Pengeluar perabot kayu getah di Malaysia, Sand Nisko Capital Bhd (SNC) membeli 10.4 hektar tanah di Melaka berharga RM5.8 juta, dalam usaha syarikat untuk meluaskan perniagaan pembangunan hartanahnya.

 

Menerusi anak syarikat milik penuhnya, Len Cheong Resources Sdn Bhd (LCR), syarikat memeterai perjanjian jual dan beli (SPA) bersama Cempakaraya Sdn Bhd (Cempaka) bagi cadangan pengambilalihan tanah pegangan beas di Lot 68, Mukim Lendu, Alor Gajah di Melaka.

 

Pengarah Urusan SNC, Emily Sow Mei Chet berkata, ia adalah peluang baik untuk SNC melebarkan perniagaan pembangunan hartanah di Melaka menerusi pengambilalihan tanah yang sudah matang dan sedia dibangunkan.

 

“Kami telah mempelbagaikan perniagaan dengan menceburi pembangunan hartanah, pembinaan dan pelaburan hartanah sejak tahun lalu dan pengambilalihan terbaru ini, boleh membantu kami melonjak jauh lagi di dalam bidang hartanah,” ujarnya dalam kenyataan di sini.

 

Menurut Sow, pembiayaan bagi urus niaga itu akan dibuat menerusi gabungan dana yang dijana dari dalaman dan pinjaman bank, yang akan diputuskan oleh pengurusan kelak.

 

SNC adalah antara syarikat yang terjejas oleh pandemik COVID-19, yang menyaksikan perniagaan pembuatan dan perdagangan perabotnya berdepan masalah.

 

Atas faktor di atas, sejak tahun lalu, SNC melangkah ke segmen pembangunan dan pembinaan hartanah menerusi LCR yang menjalin usaha sama dengan Goldpeace Corporation Sdn Bhd bagi membangunkan sebuah tanah pegangan bebas juga di Melaka.

 

Sow berkata, pengambilalihan terbaru ini juga seiring dengan usaha syarikat untuk menambah simpanan tanah bagi tujuan pembangunan hartanah.

 

“Diterajui pasukan profesional yang berpengalaman luas di dalam perniagaan pembangunan hartanah, pengambilalihan ini tepat pada masanya dengan negara berada di penghujung pandemik.

 

“Perkembangan terbaru ini pasti membantu pelan pemulihan bagi SNC dan meluaskan perniagaan pembangunan pembinaan dan hartanah,” ujar beliau. – DagangNews.com