Sapura Energy belum lagi 'terselamat' daripada diklasifikasi PN17 - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Sapura Energy belum lagi 'terselamat' daripada diklasifikasi PN17 - Penganalisis

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 31 Mei - Sapura Energy Bhd. dilihat memerlukan lebih banyak langkah pemulihan memandangan asas kumpulan yang masih lemah meskipun terdapat beberapa perkembangan positif kepada harga sahamnya.

 

Dalam nota kajian hari ini, Penganalisis Public Investment Bank Research, Nurzulaikha Azali berkata, laporan media mengenai sejak akhir-akhir ini terutama cadangan supaya Petronas menyelamatkan Sapura Energy pada pertengahan Mac lalu, pastinya meningkatkan sentimen pelabur.

 

Katanya, ini menyaksikan harga sahamnya melonjak 183% kepada 8.5 sen daripada paras terendah tahun ini sebanyak 3 sen.

 

"Pendapatan bagi kumpulan dijangka kekal lemah berikutan kesukaran dalam pengurusan kos untuk projek-projek sebelum ini, walaupun terdapat laporan akhbar baru-baru ini berkaitan potensi bantuan kewangan daripada pelbagai pihak telah menaikkan sentimen pelabur," katanya.

 

Bagaimanapun, spekulasi mengenai cadangan pengambilalihan itu telah dinafikan Petronas dengan menyatakan ia sentiasa dan akan terus dipandu dengan ketat oleh rangka kerja yang telah ditetapkan untuk sebarang pertimbangan pelaburan atau pelupusan.

 

Baru-baru ini pula, terdapat laporan media yang memetik sumber bahawa Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) sedang mengusahakan cadangan dan akan menawarkan bantuan kepada Sapura Energy dalam bentuk pakej bantuan.

 

Sapura Energy melaporkan kerugian bersih sebanyak RM8.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022.

 

Syarikat minyak dan gas itu yang bergelut dengan masalah kewangan menanggung hutang sehingga RM10.3 bilion menerusi pinjaman daripada 9 bank.

 

Susulan itu, kumpulan dilaporkan telah memulakan perbincangan untuk rancangan penstrukturan semula hutang dan merancang untuk menjual beberapa aset bagi membolehkan kembali kukuh.

 

Baca : Sapura Energy jual kapal dengan nilai AS$71.50 juta

 

Antaranya, termasuklah penjualan kapalnya, dikenali sebagai Sapura 3000 dengan nilai AS$71.50 juta, yang mana tunai yang dijana daripada cadangan penjualan tersebut akan digunakan untuk modal kerja dan mengurangkan pinjaman kumpulan. 

 

Menurut Nurzulaikha, langkah tersebut bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan kumpulan sebelum ini menyatakan hasratnya untuk melupuskan aset marin bukan teras sebagai sebahagian daripada fokus kumpulan terhadap kemampanan jangka panjang dan meningkatkan kedudukan kecairan.

 

Selain itu, katanya, ia juga berkemungkinan besar diklasifikasikan sebagai penerbit terjejas (iaitu Nota Amalan 17 atau PN17) disebabkan kekurangan dalam modal sahamnya dan daya maju memandangkan usaha masih berterusan.

 

"Kumpulan telah bertindak untuk menyelesaikan cabaran kecairan, termasuk rundingan dengan pelanggan kontrak sedia ada, dengan tujuan penyelesaian yang baik untuk memulihkan atau mengehadkan kerugian.

 

"Ia juga sedang berunding dengan vendornya mengenai pembayaran tertunggak dan pemberi pinjaman melalui kemudahan sedia ada atau baharu dan di bawah Skim Pengaturan (SOA).

 

"Sementara itu, perbincangan mengenai pengewangan aset selanjutnya juga sedang dijalankan," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, Public Investment menyemak naik penarafan saham Sapura Energy kepada 'neutral' dengan harga sasaran disemak semula kepada 5 sen daripada 3 sen sebelum ini.

 

Setakat 11.40 pagi ini, harga saham Sapura Energy susut 0.5 sen atau 5.88% kepada 8 sen dengan 90.7 juta saham diniagakan. - DagangNews.com