Sapura Energy, Hibiscus mungkin perlu sokongan Petronas untuk terlibat dalam teknologi hidrogen | DagangNews Skip to main content

Sapura Energy, Hibiscus mungkin perlu sokongan Petronas untuk terlibat dalam teknologi hidrogen

Gambar hiasan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Petronas Chemicals Group Bhd. dan Petronas Gas Bhd. dilihat akan mendapat kelebihan daripada pembangunan bekalan hidrogen bersih yang dimeterai antara Petronas dan ENEOS Corporation (ENEOS) baru-baru ini. 

 

Perjanjian tersebut yang membabitkan anak syarikatnya, Petronas Gas & New Energy Sdn. Bhd. (PGNESB) dan ENEOS yang berpangkalan di Jepun itu bakal menyaksikan kedua-dua pihak melaksanakan kajian teknikal-komersial bersama dalam rantaian bekalan hidrogen. 

 

Selain itu, ia juga termasuklah pengeluaran dan pengangkutan dalam bentuk methylcyclohexane (MCH), iaitu hidrogen ditukarkan dari bentuk gas asli kepada cecair bagi membolehkan penghantaran dilakukan dalam jumlah lebih besar.

 

Penganalisis AmInvestment Bank Bhd., Alex Goh berpendapat, kedua-dua anak syarikat Petronas ini memiliki keupayaan dari segi infrastruktur dan kedudukan kukuh untuk memulakan pelaburan dalam pengeluaran gas asli kepada hidrogen, sekali gus mempelbagaikan aliran pendapatan. 

 

Pada masa sama, katanya, penyedia perkhidmatan sokongan seperti Dialog Group Bhd., yang membina terminal gas asli cecair (LNG) di Pengerang dan menyediakan kepakaran penyelenggaraan loji, juga mempunyai keupayaan untuk menyertai rantaian nilai ini. 

 

"Bagaimanapun, bagi pengendali penerokaan dan pembangunan seperti Sapura Energy Bhd. dan Hibiscus Petroleum Bhd. yang menghasilkan gas asli, kami tidak nampak penglibatan mereka dalam tempoh terdekat ini dalam teknologi peringkat awal ini, yang mungkin perlu ditanggung oleh Petronas dengan kemampuan, imbangan tunai dan sokongan kerajaan yang lebih kuat.

 

"Begitu juga dengan penyedia perkhidmatan lain yang lebih kecil seperti KNM Group Bhd., meskipun mungkin mempunyai kepakaran membuat kapal dan peralatan pemprosesan, kami tidak yakin dengan kemampuan kewangan mereka pada masa ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Menurut beliau, pembangunnan bagi teknologi pembawa cecair organik hidrogen semakin mendapat daya tarikan berikutan sifat kimianya yang stabil membolehkan penyimpanan jangka panjang dan pengangkutan jarak jauh serta memanfaatkan infrastruktur petrokimia dan minyak sedia ada.

 

"Ini secara tidak langsung dapat mengelakkan daripada membangunkan aset baharu, sebaliknya berupaya meningkatkan daya saing dari segi kos, skala dan paling penting kemampuan kewangan bagi pemain industri tenaga yang mapan," jelas beliau.

 

Menerusi perjanjian itu, Petronas dan ENEOS akan meneroka pengeluaran hidrogen berkarbon rendah menerusi kemudahan petrokimia Petronas dan pada masa akan datang, hidrogen hijau dihasilkan oleh tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Perkembangan teknologi hidrogen organik cecair (LOHC) seperti MCH mendapat tarikan pantas kerana sifatnya stabil secara kimia yang membolehkan ia disimpan untuk jangka panjang dan diangkut secara jarak jauh.

 

Bagi projek dengan Petronas, ENEOS sudah mengemukakan pembiayaan daripada Dana Inovasi Hijau Kerajaan Jepun yang menaja projek dan inisiatif penyahbekuan.

 

MoU itu juga dilihat melengkapkan aspirasi bersama Petronas dan ENEOS untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

 

Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan saranan 'overweight' ke atas sektor minyak dan gas. Firma itu meletakkan saranan 'beli' ke atas saham Dialog, Yinson Holdings Bhd., Sapura Energy dan Petronas Gas. - DagangNews.com