Sapura Energy nafi tuduhan rasuah kontrak Petrobras di Brazil | DagangNews Skip to main content

Sapura Energy nafi tuduhan rasuah kontrak Petrobras di Brazil

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Syarikat minyak dan gas, Sapura Energy Berhad (Sapura Energy) menafikan tuduhan terlibat dalam kegiatan rasuah berkaitan kontrak syarikat petroleum Brazil, Petrobras.

Sapura Energy menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia berkata, ketika siasatan awal oleh pihak berkuasa Brazil pada 2016 dan 2017, syarikat itu telah dibebaskan daripada semua tuduhan berkenaan. 

“Ketika itu, syarikat telah dan akan terus memberi kerjasama dengan mana-mana siasatan atau pihak berkuasa kawal selia berhubung kegiatan rasuah. 

“Syarikat mempunyai dasar tegas menentang rasuah serta dasar dan prosedur dalaman untuk mengurangkan risiko itu,” kata Sapura Energy. 

Kenyataan itu dibuat berhubung laporan yang mendakwa Sapura Energy dan Seadrill disiasat atas tuduhan rasuah melibatkan kontrak Petrobras. 

Menurut laporan Reuters, polis Brazil dan Belanda mengeluarkan puluhan waran penggeledahan sebahagian daripada siasatan rasuah terhadap syarikat pelantar Seadrill dan Sapura Energy.

Pendakwa raya di Brazil dilaporkan telah melakukan 25 penggeledahan, tertumpu di Rio de Janeiro dan Sao Paulo, manakala polis Belanda turut melaksanakan beberapa penggeledahan.

Operasi itu sebagai usaha mencari bukti terhadap siasatan berterusan ke atas tiga kontrak bernilai AS$2.7 bilion yang ditandatangani antara firma usaha sama Sapura Energy dan Seadrill serta Petrobras pada 2011.

Tambah Sapura Energy, syarikat itu juga mempunyai klausa dalam semua perjanjiannya mengenai anti-rasuah yang akan menjadikan perjanjian itu terbatal sekiranya rasuah terlibat atau disyaki terlibat.

“Sebelum ini, kami mengambil langkah segera untuk menghentikan kewajipan kontrak setiap kali timbul kecurigaan rasuah. 

Fakta-fakta ini menunjukkan dan merupakan bukti jelas komitmen syarikat terhadap dasar toleransi sifar berhubung isu,” jelas Sapura Energy. - DagangNews.com