Sarawak bakal bekalkan gas petroleum cair kepada Kalimantan Barat | DagangNews Skip to main content

Sarawak bakal bekalkan gas petroleum cair kepada Kalimantan Barat

 

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Sarawak akan membekalkan gas petroleum cair (LPG) kepada Kalimantan Barat di Indonesia setelah kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan. 

 

Perkara itu disahkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg pada majlis pelancaran LPG Petroleum Sarawak Berhad (Petros) hari ini.

 

Kata Abang Johari, Gabenor Kalimantan Barat, Sutarmidji telah menhantar sepucuk surat bertulis kepadanya berhubung bekalan LPG ke kampung-kampung Indonesia berdekatan sempadan Sarawak. 

 

Beliau bersetuju kerana jika tiada prosedur kawal selia untuk negeri itu menjual LPG kepada Kalimantan Barat, maka penyeludupan LPG ke kawasan lain dikhuatiri berlaku.

 

Ketika ini, Sarawak telah menjual bekalan elektrik kepada Kalimantan Barat.

 

Disebabkan itu, kerajaan negeri menerusi Petros perlu membuat penyusunan rasmi dengan pihak berkuasa wilayah itu bagi pembekalan LPG pula. 

 

Menurut Abang Johari, sektor minyak dan gas dijangka berterusan mendatangkan hasil kepada negeri itu.

 

Ini dilaksanakan menerusi cukai jualan produk petroleum yang dieskport oleh syarikat-syarikat minyak beroperasi di negeri itu. - DagangNews.com