Sarawak jana ekonomi RM106 juta semasa COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Sarawak jana ekonomi RM106 juta semasa COVID-19

Sarawak

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Sarawak berjaya menjana RM106 juta hasil daripada aktiviti ekonomi negeri hingga September 2020.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau gembira dengan jumlah yang berjaya diraih itu meskipun berada dalam tempoh wabak COVID-19.

"Antara Januari dan September 2020, Sarawak mencapai anggaran RM106 juta dalam keseluruhan aktiviti ekonomi.

"Jumlah ini telah menyumbang sebanyak RM58 juta dalam perbelanjaan langsung perwakilan selain mengumpulkan hasil cukai sebanyak RM6.4 juta di samping membuka 8,480 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor," jelas beliau seperti dipetik DayakDaily.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Business Events Tribal Mett di Miri, Sarawak, semalam.

Abdul Karim Rahman Hamzah
Abdul Karim Rahman Hamzah 

 

Tambah beliau, Pakej Insentif Perancang Perniagaan membantu kemasukan 31 aktiviti perniagaan dengan 39,356 hari perwakilan.

Pakej tersebut memberi sokongan yang lebih meluas dengan suntikan dana tambahan serta insentif kewangan lain untuk membantu penganjur kembali meneruskan proses perancangan.

Dalam catatan lain, Abdul Karim turut menyatakan kegembiraan terhadap segmen perjumpaan korporat dan insentif sebagai strategi ekonomi transformatif khususnya daripada kumpulan insentif kerana hasil yang jauh lebih besar berbanding segmen lain daripada aktiviti perniagaan.

"Kami mencapai sasaran 68% untuk segmen konvensyen pada tahun ini dan memberi tumpuan pada aktiviti perniagaan dari tujuh bidang fokus utama di Sarawak.

"Kami juga percaya bahawa ekonomi pelancongan yang tergolong dalam jumlah perwakilan adalah sebahagian daripada perkara yang penting," tambah beliau lagi. - DagangNews.com