Sasaran eksport sawit RM75 bilion tahun ini mampu dicapai | DagangNews Skip to main content

Sasaran eksport sawit RM75 bilion tahun ini mampu dicapai

 

 

KUALA LUMPUR 24 Mei - Sasaran eksport sawit sebanyak RM75 bilion bagi tahun ini mampu dicapai menerusi beberapa program yang digerakkan di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).

 

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, antaranya, termasuklah inisiatif tambahan dalam bentuk geran padanan sebanyak RM20 juta melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).

 

Katanya, ia dapat memanfaatkan 65 Koperasi Penanaman Sawit Mampan (KPSM) dan geran padanan RM30 juta untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi serta automasi.

 

"Program-program ini akan meningkatkan pembelian jentera dan amalan mekanisasi dalam industri komoditi itu. 

 

"Dalam masa sama, ia disokong dengan penglibatan KPSM secara aktif dan dijangka menjana pendapatan lebih tinggi kepada semua pengusaha sawit termasuk pekebun kecil di seluruh negara," katanya dalam kenyataan. 

 

Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali
                                Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali

 

Bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, nilai eksport minyak sawit negara meningkat sebanyak 26.9% iaitu RM17.12 bilion berbanding RM13.49 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Faktor yang menyumbang kepada peningkatan itu adalah kenaikan harga minyak sawit mentah dan lelemak saingan yang lain di pasaran dunia.

 

Menurut beliau, industri minyak sawit Malaysia merupakan sektor ekonomi utama yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

 

Pada 2020, katanya, industri ini menyumbang sejumlah RM73.25 bilion daripada hasil eksport dengan sumbangan KDNK sebanyak 3.6%. 

 

"Malaysia juga menyumbang sebanyak 26% kepada pengeluaran minyak sawit dunia dan 34% kepada jumlah eksport minyak sawit dunia pada tahun lalu," katanya. 

 

Beliau berkata, di sebalik cabaran pandemik COVID-19 yang dijangka berterusan sepanjang tahun ini, KPPK akan terus gigih mendepaninya dalam usaha membangunkan industri agrikomoditi

 

Ini kerana katanya, industri tersebut merupakan penyumbang signifikan kepada ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat di luar bandar. 

 

"Sehubungan itu, kementerian yakin dan percaya bahawa peranan tersebut mampu digalas demi mencapai hasrat kerajaan dan rakyat," katanya. - DagangNews.com