Satu lagi syarikat ladang besar Malaysia bakal berdepan tindakan Kastam Amerika | DagangNews Skip to main content

Satu lagi syarikat ladang besar Malaysia bakal berdepan tindakan Kastam Amerika


KUALA LUMPUR 1 Okt. - Satu lagi kumpulan syarikat ladang besar bakal berdepan sekatan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.

Katanya, beliau diberitahu oleh duta besar AS ke Malaysia mengenai perkara itu, susulan tindakan menghalang pengimportan minyak sawit dan produk minyak sawit keluaran FGV Holdings yang berkuat kuasa hari ini.

Saravanan bagaimanapun tidak mendedahkan syarikat kedua yang bakal berdepan tindakan pihak berkuasa Amerika Syarikat itu.
 

saravanan
                                                                                                                          M Saravanan


“Saya perlu periksa apakah yang sedang berlaku. Saya akan periksa dengan pegawai untuk dapatkan maklumat lengkap mengenai masalah ini,” katanya kepada pemberita di luar sesi pertemuan dengan rakyat di Menara Manickavasagam, di sini hari ini.

Susulan pengumuman CBP tersebut, FGV memprotes tindakan tersebut dan mengulangi komitmennya terhadap hak dan kebajikan pekerjanya selepas pihak berkuasa AS mengumumkan tindakan tersebut berikutan dakwaan berlaku penggunaan buruh paksa dan kanak-kanak.

CBP berkata, arahan dibuat terhadap FGV itu susulan siasatan selama setahun yang mendedahkan penggunaan buruh paksa, termasuk sekatan pergerakan, kekerasan fizikal dan seksual, penahanan gaji dan kerja lebih masa berlebih-lebihan.

Saravanan berkata, duta besar AS memaklumkan kepada beliau mengenai isu buruh di kebanyakannya melibatkan ladang di Sabah dan Sarawak, termasuk pekerja kanak-kanak.

"Isu itu membimbangkan kerana Malaysia bergantung pada eksport komoditi seperti minyak sawit dan larangan tersebut akan merosakkan ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata, kementeriannya akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

 

Beliau berkata, isu buruh adalah antara sebab utama beliau menggesa Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 dipinda.

“Ia akan menangani semua isu, tetapi beberapa kesatuan masih menentangnya,” katanya. - DagangNews.com