SC dakwa Datuk Ricky Wong Shee Kai gelapkan RM56 juta daripada BPI | DagangNews Skip to main content

SC dakwa Datuk Ricky Wong Shee Kai gelapkan RM56 juta daripada BPI

Datuk Ricky Wong Shee Kai


 

 

KUALA LUMPUR 5 April - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mahu membuktikan kaedah yang diguna oleh Datuk Ricky Wong Shee Kai menggelapkan wang sebanyak RM56 juta dari Bright Packaging Industry Bhd (BPI) menerusi beberapa langkah korporat antara 2013 dan 2015, termasuk penerbitan hak, penempatan persendirian dan dua pusingan skim opsyen saham kakitangan (ESOS).

 

Perkara ini disebut di dalam hujah pembukaan peguam mewakili SC, Datuk Lim Chee Wee dalam perbicaraan ke atas Wong, ibunya Teh Sew Wan dan Wong Sk Holdings yang didakwa melanggar Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) menggunakan kaedah, skim atau tipu daya untuk menipu BPI dan atau melakukan tindakan, amalan atau perlakuan perniagaan yang beroperasi secara penipuan ke atas BPI.

 

Kedua-dua Wong dan ibunya, Teh merupakan ahli lembaga pengarah Wong SK Holdings. Wong dan Wong SK Holdings diwakili peguam Datuk Harpal Singh Grewal, menurut laporan The Edge Financial Daily.

 

BPI

 

"Bukti-bukti menunjukkan hasil-hasil dibayar oleh BPI kepada para pembekal syarikat, yang mana mereka sebenarnya syarikat penama yang dikawal oleh defendan.

 

" Duit-duit itu kemudiannya dipindahkan kepada defendan. Wang itu dibayar oleh BPI selepas setiap proses korporat BPI dalam tempoh yang sangat singkat, iaitu satu hingga dua minggu sahaja selepas penyempurnaan," kata Lim.

 

Peguam tersebut mendakwa syarikat-syarikat berkenaan dikawal oleh Wong dan diguna sebagai syarikat palsu yang diguna untuk kerja-kerja penipuan defendan, yang mengakibatkan kerugian kewangan sekurang-kurangnya RM56.07 juta.

 

Syarikat-syarikat penama itu didakwa menerima wang daripada BPI susulan setiap proses korporat menerusi cek yang disahkan oleh Teh, berdasarkan transaksi palsu, yang kemudiannya dipindahkan kepada Wong atau Wong SK Holdings, lapor The Edge Financial Daily.

 

Suruhanjaya itu di dalam penyiasatannya mendapati wang-wang tersebut dipindahkan dari BPI menerusi syarikat-syarikat penama yang berlapis-lapis, dan akhirnya berakhir di dalam akauan HSBC atau Alliance Bank milik Wong atau akaun AmBank Wong SK Holdings.

 

Di samping menggunakan kaedah tersebut, Wong didakwa memberikan pembiayaan kepada bekas pengarah BPI, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee bagi melanggan terbitan hak saham dan seterusnya melupuskan saham itu dengan hasilnya dipindahkan kembali kepada Wong.

 

Syed Ali, yang merupakan bekas ketua UMNO Bahagian Cheras, menafikan mempunyai pengetahuan mengenai langganan tersebut dan penjualan saham hak, serta pemindahan kembali hasil kepada Wong.

 

Selain itu, Wong juga didakwa memberikan pembiayaan kepada lima kakitangan BPI untuk melanggan dua kali ESOS, dan kelima-lima mereka turut menafikan tahu menahu mengenai transksasi tersebut.

 

Syed Ali dan lima kakitangan iaitu Chew Chen Nie, Lee Woan Jiun, Chan Kok Leong, Kok Meow Imm dan Teoh Hock Heng, akan tampil sebagai saksi bersama 14 lagi di dalam perbicaraan itu kelak.

 

Perbicaraan hari ini kemudiannya ditangguhkan ke 21 September selepas Teh memecat dua peguamnya, Datuk Nicholas Kow dan Emile Ezra Hussain yang dianggapnya tidak dapat memberi khidmat sewajarnya.

 

Pesuruhjaya Kehakiman Anand Ponnudurai memberi amaran terhadap Teh bahawa perbicaraan itu tidak akan ditangguhkan lagi apabila bersambung semula pada September depan. - DagangNews.com