SC kesan 3 entiti tidak sah | DagangNews Skip to main content

SC kesan 3 entiti tidak sah


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengesan tiga entiti tidak sah setakat 20 Oktober 2020. 

Tiga entiti berkenaan iaitu Torque Market Limited / Torque Trader, Hot Forex dan Oanda Malaysia Corporation telah dimasukkan ke dalam Senarai Peringatan Pelabur. 

Menurut SC, Senarai Peringatan Pelabur mengandungi laman sesawang, produk pelaburan, syarikat dan individu yang tidak diberi kebenaran atau tidak sah. 

“Senarai ini adalah tidak muktamad dan bertindak sebagai panduan kepada pelabur sebelum membuat apa-apa keputusan pelaburan,” jelas SC. 

Berdasarkan senarai entri baharu, Torque Market Limited / Torque Trader didapati mengendalikan pasaran yang diiktiraf tanpa kebenaran daripada SC. 

Selain itu, entiti berkenaan menjalankan aktiviti pasaran modal tanpa lesen yang berurusan dengan derivatif dan sekuriti serta penyalahgunaan nama dan logo SC.

Hot Forex pula didapati mengendalikan pasaran yang diiktiraf tanpa kebenaran daripada SC serta menjalankan aktiviti pasaran modal tanpa lesen yang berurusan dengan sekuriti.

Oanda Malaysia Corporation disenaraikan atas kesalahan sama iaitu menjalankan aktiviti pasaran modal tanpa lesen yang berurusan dengan derivatif dan sekuriti. - DagangNews.com