SC tarik balik pertuduhan selepas Sreesanthan setuju bayar RM900,000 | DagangNews Skip to main content

SC tarik balik pertuduhan selepas Sreesanthan setuju bayar RM900,000

Dato' Sreesanthan Eliathamby - Gambar The Star

 

 

 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Okt. -  Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menarik balik prosiding jenayah yang dikenakan ke atas Dato' Sreesanthan Eliathamby selepas beliau bersetuju untuk membuat pembayaran sebanyak RM900,000 sebagai sebahagian daripada Persetujuan Penyelesaian Kawal Selia dengan SC atas kesalahan dagangan orang dalam bagi saham-saham Maxis Communications Bhd, UEM World Bhd dan VADS Bhd.

 

Dalam satu kenyataan SC memaklumkan pihaknya dengan persetujuan Pendakwa Raya, telah menarik balik prosiding jenayah yang dikenakan ke atas Sreesanthan dan rayuan terhadap pembebasannya dalam kes lain atas kesalahan dagangan orang dalam bagi saham Sime Darby Bhd.

 

"Penyelesaian ini tidak mempengaruhi proses prosiding sivil yang masih berjalan terhadap Sreesanthan berhubung pemerolehan sebanyak 600,000 saham Worldwide Holdings Bhd antara bulan Jun dan Julai 2006, ketika memiliki maklumat material bukan awam. 

 

"Dalam prosiding ini, Sreesanthan didapati bertanggungjawab oleh Mahkamah Tinggi pada 4 November 2020 dan diperintahkan untuk membuat pembayaran balik kepada SC sejumlah RM1,989,402, penalti sivil sebanyak RM1 juta dan dilarang daripada memegang jawatan sebagai pengarah syarikat tersenarai awam untuk tempoh selama 10 tahun, berkuat kuasa pada 18 November 2020. 

 

"Sreesanthan telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Jelas SC lagi, Sreesanthan dikenakan pertuduhan pada bulan Julai 2012 atas kesalahan dagangan orang dalam yang melibatkan saham-saham Sime Darby, Maxis Communications, UEM World dan VADS antara Oktober 2006 dan September 2008, ketika dia merupakan rakan kongsi kanan firma guaman yang terlibat dalam pelaksanaan korporat syarikat-syarikat terbabit.

 

"Walaupun SC membuat pertuduhan terhadap Sreesanthan pada 2012, perbicaraan hanya dimulakan pada tahun 2019 kerana pada bulan September 2012, Sreesanthan telah mengemukakan permohonan untuk mencabar status keperlembagaan kuasa penyiasatan SC di bawah seksyen 128 dan 134 Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993. 

 

"Sreesanthan juga telah mengemukakan permohonan untuk membatalkan pertuduhan jenayah terhadapnya dan memohon pendedahan keterangan dan dokumen saksi," katanya. -DagangNews.com