Scania Malaysia ditauliah sebagai Pusat Sistem Latihan Dual Nasional | DagangNews Skip to main content

Scania Malaysia ditauliah sebagai Pusat Sistem Latihan Dual Nasional

Dalila Sharingat (duduk, dua dari kiri) dan Navindran Rajendran (duduk, dua dari kanan) bergambar para peserta Program Perantisan SLDN Scania di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Dusun Tua, Hulu Langat.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

HULU LANGAT 18 Mei - Scania Malaysia ditauliahkan sebagai Pusat Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia, sekali gus menjadikan satu-satunya syarikat industri kenderaan perdagangan berat negara mendapat tauliah untuk program latihan itu.

 

SLDN bertujuan melahirkan pekerja berpengetahuan yang mempunyai elemen kompetensi iaitu teknikal, sosial, kemanusiaan dan kaedah. 

 

Program Perantisan SLDN Scania ialah program latihan yang direka untuk individu daripada latar belakang Kejuruteraan Automotif Perdagangan/Berat yang ingin melanjutkan kerjaya dalam bidang teknikal (juruteknik) dalam Scania. 

 

Program perantisan tersebut mengambil masa kira-kira setahun untuk ditamatkan tertumpu pada pembangunan kemahiran teknikal dan interpersonal melalui latihan formal, bimbingan dan aktiviti di tempat kerja. 

 

Pada akhir program, calon yang telah berjaya menamatkan program dan penilaian, akan ditawarkan jawatan tetap sebagai juruteknik berkelayakan sepenuh masa dalam Scania dengan dilengkapi Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 daripada JPK. 

 

Terdahulu, program tersebut telah diadakan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Dusun Tua (IKTBNDT) dan dirasmikan Pengarah IKTBNDT, Dalila Sharingat. Turut hadir, Rakan Perniagaan Rakyat dan Budaya Scania Asia Tenggara, Navindran Rajendran; Pengurus Pusat Bertauliah SLDN Scania Malaysia, Khairull Anuar Ismail dan Jurulatih SLDN Scania Malaysia, Nurulain Sulaiman.


 
Seorang calon program berkenaan, Mohd Nor Zairqh Muhamad berkata, dia berasa amat bertuah kerana terpilih sebagai antara pemohon Program Perantisan SLDN dan memenuhi permintaan tinggi untuk pekerja mahir dalam industri kenderaan perdagangan berat.

 

 

scania

 

 

scania

 

 

"Prospek untuk dapat bekerja dengan Scania juga menjadi faktor pendorong saya memohon untuk menjadi sebahagian daripada usaha kerjasama antara Scania dan IKTBNDT ini,” katanya.

 

Dalila berkata, pihaknya berbesar hati kerana Scania bekerjasama dengan IKTBNDT dalam melatih 10 calon pertama Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2. 

 

"Mereka teruja dengan prospek untuk menerima latihan dan bimbingan yang tidak ternilai yang akan diberikan oleh Scania dan menantikan pemindahan amalan mampan Scania yang akan memberi manfaat dalam kerjaya mereka pada masa hadapan,” katanya.

 

 

scania

 

 

scania

 

 

Navin pula berkata, Scania berbangga kerana berada dalam perkongsian mampan dengan IKTBNDT dengan melahirkan pemimpin masa depan dalam sistem pengangkutan mampan. 

 

"Diharapkan para calon akan cemerlang dan terus memacu perubahan sebenar bersama Scania dan untuk industri,” katanya. - DagangNews.com