SCIB beroperasi autonomi, projek Timur Tengah dan Sarawak jadi pemangkin | Dagang News Skip to main content

SCIB beroperasi autonomi, projek Timur Tengah dan Sarawak jadi pemangkin

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

SHAH ALAM 17 Jun - Sarawak Consolidated Industries Bhd. (SCIB) menjelaskan urusan harian syarikat dilaksanakan secara autonomi oleh pengurusan kanannya mengikut garis panduan sedia tadbir urus korporat.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, Rosland Othman berkata, walaupun dikaitkan dengan isu Serba Dinamik melalui pemegang sahamnya iaitu Dato’ Dr Mohd Abdul Karim Abdullah, SCIB beroperasi secara berasingan dan autonomi.

 

Beliau mengakui, ekoran isu yang melanda Serba Dinamik, saham SCIB turut sama terjejas dan dalam tempoh sebulan ini, pasaran modal syarikat ini telah menurun sebanyak 39% dan harga saham berada di sekitar 0.79-0.85 sesaham.

 

"Benar Datuk Mohd Abdul Karim adalah pemegang saham SCIB dan merupakan pengerusi SCIB. Tetapi aktiviti perniagaan harian diurus oleh kami secara autonomi.

 

"Malah, perniagaan SCIB masih kukuh dan segala urusan masih seperti biasa. Sebagai syarikat senarai awam, kami begitu mementingkan tadbir urus korporat mengikut garis panduan sedia ada," kata Rosland kepada Dagangnews.com di sini hari ini.

 

Ditanya tentang hubungan SCIB dengan Dato’ Karim, Rosland menjelaskan bahawa operasi harian masih di bawah kawalan dirinya selaku Pengarah Urusan dan CEO manakala peranan Dato Karim hanya sebagai Pengerusi syarikat yang banyak memberi tunjuk ajar mengenai perniagaan kepadanya.

 

"Kami semua patuh kepada garis panduan tadbir urus korporat. Peranan Pengerusi Bukan Eksekutif yang dipegang oleh Dato Karim sangat jelas dan beliau tidak campur tangan dalam urusan harian SCIB," kata beliau.

 

SCIB
Rosland Othman (kanan) bersama Mohd Abdul Karim Abdullah selaku pengerusi SCIB. - Gambar Theedgemarkets

 

Mengenai prospek SCIB, beliau menjelaskan ia masih lagi berjalan seperti biasa dengan bahagian pembinaan terus menyumbang hasil pendapatan syarikat.

 

"Beberapa projek SCIB di negara Timur Tengah berjalan mengikut jadual yang ditetapkan dan kami juga sedang membida beberapa projek di sana," jelas beliau lagi.

 

Setakat ini kata beliau, SCIB telah membida RM2.4 bilion untuk kontrak masa hadapan syarikat.

 

Syarikat ini juga telah memberi sasaran RM2.5 bilion saiz buka kontrak setiap tahun dan di samping mencadangkan 30% sebagai polisi dividen kepada pemegang saham.

 

"Ini adalah sebahagian komitmen kami kepada para pemegang saham dalam berkongsi keuntungan syarikat kepada mereka," ujar Rosland sambil menyatakan bahawa sekarang ini peluang terbaik untuk menjadi pemegang saham SCIB berdasarkan risiko dan peluang.

 

Sebagai rekod, pendapatan hasil bagi pembinaan di Oman dan Qatar telah menunjukan peningkatan lebih 100% dari tahun ke tahun.

 

SCIB juga dilihat sebagai syarikat yang berkait rapat dengan projek-projek pembangunan mega infrastruktur di Sarawak yang bernilai RM22 bilion. - DagangNews.com