SCIB dapat projek sulung di Semenanjung Malaysia, KPMG letak jawatan pengaudit syarikat | DagangNews Skip to main content

SCIB dapat projek sulung di Semenanjung Malaysia, KPMG letak jawatan pengaudit syarikat

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Julai - Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) mengumumkan syarikat berjaya meraih projek sulung di Semenanjung Malaysia bernilai RM138.5 juta yang diberikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu.

 

Ini selepas anak syarikatnya, SCIB Industrialised Building System Sdn Bhd dan Sasoakai Resources Sdn Bhd menerima surat tawaran dan penerimaan (LOA) bagi kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

 

Pada 5 Februari lalu, kedua-dua syarikat itu telah memeterai perjanjian usaha sama berhubung kontrak penyelenggaraan kerja-kerja jalan di Terengganu berdasarkan konsesi yang bermula tahun 2021 hingga 2026.

 

“Kontrak yang diperoleh dijangka tidak mendatangkan kesan material ke atas aset bersih SCIB dan kumpulan syarikatnya (SCIB Group) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022.

 

“Sebarang keuntungan yang diagihkan kepada kumpulan akan dilakukan secara berperingkat sepanjang tempoh kontrak berdasarkan kemajuan projek. Kontrak yang diperoleh itu dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan SCIB pada masa akan datang, sepanjang tempoh kontrak berkenaan,” jelas syarikat dalam makluman di Bursa Malaysia, hari ini.

 

Tambah SCIB, kontrak itu tertakluk kepada risiko perniagaan biasa seperti risiko pembinaan, peningkatan kos susulan kos bahan kian melonjak, ketersediaan tenaga kerja berkemahiran serta bahan dan terma-terma kontrak termasuk peruntukan lalai dan prestasi subkontraktor.

 

Syarikat bagaimanapun memberi jaminan untuk melaksanakan langkah kawalan dan prosedur operasi bagi mengurangkan risiko berkenaan.

 

Sementara itu, SCIB menerusi makluman berbeza mendedahkan bahawa syarikat pada 23 Julai lalu telah menerima notis peletakan jawatan dari KPMG PLT sebagai pengaudit luarnya dengan serta-merta.

 

SCIB menerusi makluman di Bursa Malaysia memberitahu bahawa ia telah mendapatkan nasihat perundangan berhubung isu yang terpalit dengan KPMG sehingga menimbulkan spekulasi buruk terhadap syarikat.

 

Ini melibatkan persepsi bahawa syarikat berkongsi persamaan dengan Serba Dinamik Holdings Berhad yang ketika ini dalam proses litigasi dengan KPMG.

 

“Oleh itu, kebimbangan yang dibangkitkan oleh syarikat adalah sekiranya KPMG berterusan dapat bertindak secara bebas dalam kapasiti mereka sebagai pengaudit mengikut Peraturan Undang-Undang Kecil Institut Akauntan Malaysia (mengenai etika dan tingkah laku profesional).

 

“Susulan itu, KPMG menerusi notisnya menyatakan bahawa pandangan dan pendapat syarikat terhadap kebebasan KPMG, ditambah potensi tuntutan daripada syarikat, telah menjejaskan keupayaan KPMG untuk terus melaksanakan tugas profesional mereka secara bebas sebagai juruaudit syarikat,” jelas SCIB.

 

Setakat penutupan sesi dagangan pagi ini, harga saham SCIB menyusut 1.5 sen atau 2.07% kepada 71 sen dengan 4.6 juta saham didagangkan, menjadikan nilai pasaran syarikat pada kadar RM348 juta. - DagangNews.com