SDP sudah ambil langkah sewajarnya tangani isu CBP - Firma | DagangNews Skip to main content

SDP sudah ambil langkah sewajarnya tangani isu CBP - Firma

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 April - CGS CIMB percaya Sime Darby Plantation Berhad (SDP) berada di landasan yang betul dalam menyelesaikan isu berkaitan dakwaan penggunaan buruh paksa dan pada masa sama menambah baik amalan buruh. 

 

Malah, menurut firma itu, sebahagian besar para pelanggan juga memberi tempoh masa kepada SDP untuk mencari jalan penyelesaian dengan hanya sedikit sahaja membatalkan pembelian minyak sawit dengan syarikat perladangan gergasi itu. 

 

Ini susulan daripada sekatan import yang dikenakan oleh Agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) berkuat kuasa 30 Disember 2020, selepas perintah tahanan pelepasan (WRO) dikeluarkan ke atas minyak sawit dan produk minyak sawitnya berikutan dakwaan buruh paksa.

 

CBP mendapati WRO itu dikeluarkan berdasarkan maklumat yang munasabah menunjukkan kehadiran kesemua 11 petunjuk penggunaan buruh paksa seperti digariskan Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) dalam proses pengeluaran SDP.

 

Selain SDP, FGV Holdings Berhad, terlebih dahulu berdepan sekatan itu pada 30 September 2020 juga atas dakwaan yang sama. 

 

Menurut Penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng Lee Fang, perkara yang dinyakatan itu termasuk dalam aspek sosial dalam analisis berasaskan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terhadap peladang.

 

"Ini mungkin akan dibangkitkan berulang kali dan menjadi subjek utama yang akan diberi perhatian oleh komuniti pelaburan dan pemain industri minyak sawit," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada 1 Mac lalu, SDP telah melantik Impactt Ltd. sebagai penilai pihak ketiga untuk mengendalikan penilaian komprehensif terhadap amalan buruh dalam operasinya di seluruh negara. 

 

SDP juga menubuhkan Suruhanjaya Pakar Penilaian Hak Asasi Manusia Pihak Berkepentingan sebagai sebahagian usaha menyelesaikan pertikaian tersebut.

 

Impactt merupakan perundingan perdagangan yang beretika dengan kepakaran khusus dalam mengesan dan memperbaiki masalah buruh paksa dalam rantaian bekalan syarikat.

 

Ahli panel pihak berkepentingan termasuk Shift (pusat peneraju kepakaran dalam  UN Guiding Principles on Business and Human Rights), aktivisi hak pekerja migran dan penyelidik hak asasi manusia Andy Hall serta wakil Kesatuan Pekerja Ladang Kebangsaan (NUPW). 

 

"Kami dapati bahawa Impactt sedang menilai operasi SDP di Malaysia dan berharap dapat menyelesaikan laporan penilaian menjelang Mei 2021. Laporan tersebut akan diterbitkan kepada umum dan diserahkan kepada CBP," jelasnya.

 

Bagaimanapun, Lee Fang menyedari tempoh masa bagi menyelesaikan isu tersebut bergantung kepada penemuan utama dan sejauh mana kesannya berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Impactt. 

 

SDP akan mengambil langkah pembetulan berdasarkan laporan itu dan ketika ini syarikat sedang meningkatkan amalan buruh seperti mana disyorkan menerusi Shift, yang dikendalikan untuk penilaian amalan buruh sejak 2016.

 

"Dalam hal ini, kami berpendapat, usaha SDP kini dapat membantu mengurangkan masa diperlukan bagi sebarang tindakan pembetulan dalam menyelesaikan isu berkenaan," tambahnya.

 

Namun, CGS-CIMB mendapati terdapat beberapa persamaan jika dibandingkan antara SDP dan pengeluar sarung getah terbesar Malaysia, Top Glove Corp. Berhad dalam menyelesaikan isu CBP ini.

 

Pada 29 Mac lalu, CBP mendakwa produk sarung tangan pakai buang tertentu telah dihasilkan atau dibuat oleh Top Glove menggunakan buruh paksa, dan diimport, atau akan, diimport ke AS.

 

"Kebimbangan utama kami ialah kemungkinan wujudnya kos dalam menyelesaikan masalah ini, kerana ia boleh menjadi ikutan kepada yang lain dalam industri minyak sawit negara. 

 

"Ini khususnya, sama ada syarikat perladangan boleh dikenakan bayaran pemulihan atau tidak sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk menyelesaikan larangan import berkenaan," jelas beliau.

 

Top Glove sebelum ini memberitahu akan membayar sebanyak RM136 juta bayaran pemulihan sebagai ganti rugi kepada pekerja buruhnya, berdasarkan cadangan oleh perunding bebas. 

 

Secara dasarnya, Top Glove mempunyai 11,009 pekerja buruh di Malaysia manakala SDP dalam laporan kelestarian 2019 menunjukkan pekerja asingnya berjumlah 24,646 orang.

 

SDP juga menyatakan, syarikat tidak mengenakan sebarang yuran pengambilan pekerja. 

 

Bagaimanapun, CGS-CIMB mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perladangan memandangkan harga minyak sawit mentah yang tinggi akan mengimbangi isu cukai yang tinggi, kekurangan tenaga buruh dan ESG. - DagangNews.com