Sedania catat hasil RM10.84 juta bagi Q2FY21 | DagangNews Skip to main content

Sedania catat hasil RM10.84 juta bagi Q2FY21

KUALA LUMPUR 1 Sept – Sedania Innovator Berhad mencatat pendapatan sebanyak RM10.84 juta bagi suku kedua 2021 berakhir 30 Jun lalu, iaitu peningkatan 10 ganda daripada RM1.11 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Keuntungan Kumpulan selepas cukai adalah RM3.22 juta berbanding kerugian selepas cukai sebanyak RM2.95 juta pada suku kedua 2020. Keuntungan selepas cukai yang lebih tinggi direkodkan adalah sejajar dengan pendapatan keseluruhan Kumpulan yang tinggi.

 

Pengasas dan Pengarah Pengurusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, 2021 adalah tahun yang mengujakan bagi Sedania.

 

''Kami bermula dengan baik pada tahun 2021 dengan memperoleh keputusan yang kukuh pada suku pertama. Dan pada suku kedua, Kumpulan terus mencatat kemajuan dan sekali lagi telah berjaya melangkaui jangkaan walaupun berhadapan dengan krisis kesihatan global dan keadaan ekonomi yang tidak menentu,'' kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Pendapatan Kumpulan melonjak hampir 10 kali ganda kepada RM10.84 juta berbanding RM1.1 juta dalam tempoh yang sama tahun 2020, dengan itu mencatatkan
pendapatan RM27.9 juta bagi separuh pertama tahun 2021 iaitu lebih kepada tujuh kali pendapatannya untuk separuh pertama 2020.

 

Sedania menyatakan bahawa ia telah mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM3.45 juta pada suku kedua 2021, berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM2.89 juta pada suku kedua 2020.

 

Pendapatan bersih suku kedua 2021 adalah sebanyak RM3.22 juta, dan keuntungan selepas cukai melonjak naik sebanyak RM8.11 juta untuk separuh pertama 2021, sekali gus mewakili margin bersih 29.05% dan EPS yang dicairkan sebanyak 2.14 sen. Berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun tahun lepas, kerugian bersih sebanyak RM4.76 juta, margin bersih sebanyak -122.30%, dan EPS yang dicairkan (1.91) sen.

 

Pendapatan bagi suku ini meningkat berbanding tempoh yang sama tahun lepas adalah berikutan oleh sumbangan hasil yang lebih tinggi daripada tiga (3) segmen operasi iaitu HealthTech, Greentech, dan FinTech. Segmen HealthTech menyumbang sejumlah RM6.4 juta kepada jumlah hasil Kumpulan pada suku kedua 2021.

 

Azrin berkata, Offspring telah menembusi pasaran 17 negara di seluruh dunia dan rancangan pengembangan global syarikat telah merangsang pertumbuhan pendapatan yang kukuh dan mencipta peluang pasaran baru.

 

''Dengan jumlah pelanggan yang lebih besar dengan cita rasa yang tinggi untuk produk organik daripada bahan semulajadi yang selamat untuk bayi baru lahir, kepelbagaian rangkaian produk Offspring sangat sepadan dengan permintaan yang semakin meningkat ini,” ujar beliau.

 

Dalam segmen Greentech, Kumpulan mencatatkan pendapatan sebanyak RM2.74 juta pada suku kedua berbanding pendapatan RM20,000 pada suku kedua 2020.

 

Sebahagian besar daripada peningkatan ini adalah sumbangan daripada model Energy Performance Contact (EPC) dengan sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka.

 

Pada Jun, Sedania mengumumkan bahawa ia telah memperoleh 24 lagi tapak baru untuk Greentech solutions di bawah EPC, sekali gus menjadikan segmen ini salah satu pemacu utama yang menjanjikan pertumbuhan pendapatan untuk syarikat. - DagangNews.com