Sedania catat untung pada suku pertama 2021 | DagangNews Skip to main content

Sedania catat untung pada suku pertama 2021

Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd. Noor

 

 

KUALA LUMPUR 31 Mei - Sedania Innovator Berhad merekodkan keuntungan selepas cukai bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2021 sebanyak RM4.89 juta berbanding kerugian selepas cukai berjumlah RM1.82 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Keuntungan itu adalah tertinggi sejak syarikat itu disenaraikan di pasaran ACE Bursa Malaysia pada Jun 2015. 

 

Pendapatan kumpulan bagi tempoh itu juga meningkat lebih 6 kali ganda kepada RM17.07 juta berbanding suku pertama 2020 sebanyak RM2.78 juta. 

 

Prestasi kukuh Sedania itu disumbang terutamanya menerusi segmen Greentech dan Healthtech. 

 

Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd. Noor berkata, Sedania telah menunjukkan pertumbuhan positif menerusi kesemua perniagaannya meskipun ekonomi bergelut dengan cabaran pandemik. 

 

Katanya, inisiatif strategik kumpulan untuk meneroka peluang perniagaan baharu membantu mendorong pemulihan Sedania dengan lebih kukuh pada suku pertama ini.

 

"Antaranya, Sedania telah memuktamadkan pengambilalihan 51% kepentingan dalam Offspring Inc Sdn. Bhd. pada Januari lalu.

 

"Pelaburan ini terbukti menjadi langkah strategik yang positif kepada kumpulan. Segmen HealthTech menyumbang hampir 32% kepada jumlah pendapatan kumpulan ketika suku berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Beliau yakin, Sedania mampu mengekalkan momentum pertumbuhan bagi keseluruhan tahun ini berdasarkan kepada prospek positif melibatkan beberapa rundingan dengan rakan kerjasama yang masih berjalan.

 

"Pandemik ini secara tidak langsung membantu mempercepatkan peralihan digital di seluruh dunia dan tidak ketinggalan bagi Sedania, yang merupakan antara penyumbang utama di bawah kerangka kerja Ekonomi Digital Malaysia," tambahnya. 

 
Sehubungan itu, Azrin berkata, kumpulan akan terus membina asas yang kukuh bagi menyokong kumpulan mencapai kejayaan dalam tempoh jangka masa panjang. 

 

"Kami kekal optimis dan berhati-hati untuk merekodkan prestasi yang baik tahun ini beserta langkah-langkah transformasi yang akan memperluaskan peluang meningkatkan pendapatan dan keuntungan bersih," jelas beliau. - DagangNews.com