KUALA LUMPUR 3 Jun - Sedania Innovator Berhad melalui anak syarikatnya, Sedania Technologies Sdn. Bhd. memperoleh tambahan 24 tapak baharu dari Telekom Malaysia Bhd. (TM) untuk memperluaskan penyelesaian GreenTech menjadikan keseluruhannya berjumlah 34 tapak.
Tambahan tapak baharu itu akan dikembangkan kepada Kontrak Prestasi Tenaga (EPC) sedia ada termasuk semua langkah bagi mengurangkan kos tenaga dengan meningkatkan kecekapan tenaga di dalam premis pelanggan.
Di samping itu, Sedania juga akan menyediakan penyelesaian tenaga diperbaharui (RE) seperti bumbung solar PV yang bersesuaian bagi mengurangkan kos tenaga dan pelepasan karbon.
Ketua Pegawai Eksekutif Sedania, Daniel Ruppert berkata, tambahan tapak baharu ini akan meningkatkan penempatan projek sehingga 2.4 kali ganda.
"Kami teruja untuk meningkatkan penempatan ini secepat mungkin dan menyasarkan untuk melengkapkan kesemua 24 tapak baharu pada tahun ini, sekiranya dibenarkan beroperasi di bawah perintah sekatan yang sedang berjalan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengembangan projek itu diberikan berdasarkan prestasi Sedania baru-baru ini yang berjaya menyiapkan projeknya di 10 tapak bangunan yang mana kesemuanya adalah pencawang pertukaran data dengan jumlah penggunaan tenaga 20 gigawatt jam setahun.
Berdasarkan 10 tapak itu, ia mencapai kadar penjimatan tenaga hampir 23% dan menyumbang RM24 juta pendapatan kepada Sedania
Selain kelebihan dari segi komersial, projek itu juga mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Ini berdasarkan kepada 10 tapak yang telah siap itu, pelepasan karbon berkurangan hampir 4,000 tan metrik setahun, yang mana ia menyamai lebih 60,000 pokok setiap tahun.
Bagi pencawang pertukaran data pula, penyelesaian GreenTech Sedania merangkumi peralatan, perisian dan internet segala-galanya (IoT) bagi pemantauan masa nyata.
Syarikat turut menggabungkan penyelesaian GreenTech dengan audit tenaga, reka bentuk sistem dan perkhidmatan penyelenggaraan.
Menurut Rupert, sebagai sebahagian daripada audit tenaga, syarikat bukan sahaja akan melihat di dalam bangunan tetapi juga kesesuaian pemasangan solar di atas bangunan.
"Ini akan melengkapkan perkhidmatan tenaga lestari dan meningkatkan lagi pendapatan GreenTech kami pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com