Sedania As Salam tawar penyelesaian penuh bagi perkhidmatan perbankan digital | DagangNews Skip to main content

Sedania As Salam tawar penyelesaian penuh bagi perkhidmatan perbankan digital

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mei - Sedania Innovator Berhad menerusi Sedania As Salam Capital Sdn. Bhd. menawarkan Penyelesaian Dagangan Tawarruq Bersepadu dalam usaha mempercepatkan proses penggunaan perkhidmatan perbankan digital. 

 

Pada 29 April 2022 Bank Negara Malaysia mengumumkan lima pemohon lesen perbankan digital yang berjaya selepas mendapat kelulusan dari Kementerian Kewangan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam, Khairul Nisa Ismail berkata, konsortium membabitkan AEON Credit Service (M) Berhad yang terpilih di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) merupakan antara pengguna Penyelesaian Dagangan Tawarruq Bersepadu As Salam.

 

Terdapat juga pelanggan Sedania yang merupakan sebahagian daripada sebuah konsortium turut meraih satu daripada tiga lesen konvensional di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dengan mereka menawarkan produk pembiayaan patuh Shariah kepada pengguna platformnya.

 

"Sedania As Salam memiliki keupayaan teknologi dan pengalaman untuk melengkapkan usaha membangun dan mengukuhkan infrastruktur perbankan digital mereka.

 

"Sehingga kini, kami telah membantu lebih 80 pelanggan menerusi Platform Komoditi Digital berasaskan API yang dipatenkan oleh kami, membolehkan keupayaan pemprosesan secara terus bagi Produk Runcit Pengguna Islam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

sedania
Khairul Nisa Ismail

 

Sedania As Salam mempunyai keupayaan untuk menawarkan perkhidmatan kepada pelbagai pihak dalam penyelesaian perbankan digital termasuk bank, konglomerat industri, firma teknologi, pengendali e-dagang, syarikat Fintech, koperasi dan kerajaan negeri.

 

Khairul Nisa berkata, Akad Digital Sedania As Salam membantu sektor Perbankan Islam untuk berhubung dengan pelanggan bagi proses yang lancar dan seterusnya membolehkan proses pengeluaran pembiayaan yang lebih pantas.

 

"Ekosistem terbaru kami yang tersusun dan tangkas ini menepati keperluan Institusi Perkhidmatan Kewangan yang sedang bergerak pantas ke arah  perbankan digital," katanya.

 

Antara rakan kongsi Sedania As Salam termasuk Crealogix dan Mambu yang beroperasi menggunakan penyelesaian digital dalam persekitaran perbankan digital.

 

Sedania As Salam berbesar hati dapat memainkan peranan dengan menawarkan produk dan perkhidmatan bagi menangani jurang pasaran dalam segmen yang kurang mendapat perhatian. - DagangNews.com