Segaris Arts Center raikan ulang tahun ke-10 dengan pameran bersama Samsung | DagangNews Skip to main content

Segaris Arts Center raikan ulang tahun ke-10 dengan pameran bersama Samsung


KUALA LUMPUR 13 Okt – Segaris Art Center meraikan ulang tahunnya yang sedekad dengan mengadakan pameran berkumpulan menampilkan lebih 90 artis Malaysia di White Box, Publika, Kuala Lumpur dari 4 Oktober hingga 17 Oktober 2021. Pameran ulang tahun ke-10 Segaris Art Center telah dilancarkan secara rasmi pada 10 Oktober 2021.

 

Pameran ini diadakan dengan kerjasama Samsung Malaysia Electronics di mana Segaris Art Center telah memilih 10 lukisan yang tersedia untuk pelanggan Malaysia di Samsung's The Frame Art Store dari 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022.

 

Acara ini disokong oleh Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (CENDANA) di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan ditadbir oleh MyCreative Ventures.

 

Karya seni oleh artis dari pelbagai segmen: muda dan baharu dikenali, pertengahan kerjaya, senior dan ternama akan mengambil bahagian dalam pameran ini iaitu Juhari Said, Rafiee Ghani, Agnes Lau; Ain Rahman; Hug Yin Wan; Faiz Mahdon; Kide Baharudin; Al-Khuzairie Ali; Edroger Rosili; Faisal Suhif; Jamil Mat Isa; Jalaini Abu Hassan; Dato' Tajuddin Ismail serta ramai lagi.

 

 

segaris

 

 

Sejajar dengan kewibawaan Segaris Art Center untuk menyediakan platform bagi pelukis-pelukis yang baharu dikenali untuk berhubung dengan ekosistem seni, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nizam Rahmat berkata, ramai artis muda telah mempamerkan bakat, idea dan kreativiti mereka melalui pameran yang dianjurkan oleh Segaris Art Center.

 

''Ia merupakan satu penghormatan bagi kami untuk memupuk bakat mereka dan menyaksikan perkembangan kerjaya mereka.

 

''Mereka adalah masa hadapan seni Malaysia dan kami menggalakkan mereka untuk berkembang dalam dunia seni antarabangsa. Begitu juga dengan artis-artis yang terkenal dan senior, penyertaan aktif mereka dalam program seni ini menegaskan peranan kami dalam berhubung dengan komuniti seni secara holistik," katanya dalam kenyataan di sini.

 

 

segaris

 

 

Menyesuaikan diri dengan norma baharu, Segaris Art Center juga telah mengadakan beberapa siri pameran seni maya sejak bermulanya pandemik seperti "WRWT" (2020); "No(w) Showing" (2020) dan "Sa-Hari-Hari oleh Kide Baharuddin' (2021).

 

Nizam berkata, pihaknya berharap untuk melihat Segaris Art Center berkembang menjadi muzium pusat seni tersendiri dan ini dapat dilakukan dengan meneroka jabatan-jabatan lain seperti unit pemuliharaan dan perkhidmatan seni; kurator serta perundingan seni agar dapat mengadakan lebih banyak kerjasama dengan orang-orang berkenaan di dalam dan luar negara. 

 

Segaris Art Center juga mengambil bahagian di dalam Artober 2021 oleh CIMB. Sejak tahun 2011, Segaris Art Center telah mengadakan 102 pameran seni yang terdiri daripada pertunjukan berkumpulan dan solo serta penyertaan dalam pameran seni tempatan dan antarabangsa termasuk di Art Expo Malaysia; Art Moments dan Art Jakarta di Jakarta Indonesia; dan Singapore Contemporary, Singapura.

 

 

segaris

 

 

Lebih 800 artis telah mempamerkan karya seni mereka dalam pameran yang dianjurkan oleh Segaris Art Center sepanjang penubuhannya.

 

Pameran seni yang melibatkan institusi seni tempatan dan antarabangsa juga diadakan bagi memberi peluang untuk akademia rentas sempadan dan kerjasama industri serta merapatkan jurang di antara graduan dan industri. Antaranya ialah "Aqal" (2016); "School of Thought" (2017) dan "BEDA: Alumni Fakulti Seni Lukis & Seni Reka UiTM dan Alumni Institut Seni Indonesia, Yogyakarta" (2019). - DagangNews.com