Segmen ATE, FAS pacu peningkatan pendapatan Pentamaster pada Q1 sebanyak RM146.02 juta | DagangNews Skip to main content

Segmen ATE, FAS pacu peningkatan pendapatan Pentamaster pada Q1 sebanyak RM146.02 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Mei - Pentamaster Corp Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM20.4 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 (Q1) berbanding RM16.07 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat 26.8% kepada RM146.02 juta daripada RM115.17 juta bagi tempoh sama 2021, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.  

 

Peningkatan itu terutamanya didorong menerusi segmen peralatan ujian automatik (ATE) dan penyelesaian automasi pengilangan (FAS) masing-masing merangkumi 78.3% dan 21.6% daripada hasil kumpulan pada suku semasa.

 

Segmen ATE merekodkan peningkatan hasil sebanyak RM130.5 juta pada suku pertama, 61.7% lebih tinggi daripada suku sebelumnya dipacu permintaan daripada segmen automotif berikutan peralihan global ke arah kenderaan elektrik (EV).

 

Ini menyaksikan segmen tersebut mencatat keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM32.6 juta, meningkat 26.7% daripada RM25.7 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Bagaimanapun, kuantum peningkatan PBT sebahagiannya diimbangi cabaran berterusan terhadap gangguan rantaian bekalan dan kesesakan yang mengakibatkan tekanan kos daripada kekurangan komponen utama dan kos logistik yang lebih tinggi.

 

Sementara itu, hasil bagi segmen FAS menurun sedikit sebanyak 4.9% kepada RM33.7 juta daripada RM35.5 juta bagi tempoh sama 2021. 

 

Penurunan ini disebabkan disebabkan terutamanya oleh masa pengiktirafan hasil daripada projek dalam segmen FAS yang sememangnya memerlukan masa utama projek yang lebih lama.

 

Sebaliknya, PBT bagi segmen itu meningkat kepada RM3.6 juta daripada RM2.2juta tahun sebelumnya disumbangkan terutamanya menerusi campuran produk dengan margin keuntungan yang lebih baik.

 

Bagi segmen sistem penyelesaian kawalan pintar pula, hasil menurun kepada RM33,000 pada suku semasa dengan merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM800,000.

 

Mengenai prospek kumpulan, Pentamaster berkata, ia mengakhiri suku tersebut dengan pesanan yang kukuh dalam tangan didorong sentimen pasaran yang berkait dengan EV dan aliran mega industri lain seperti IoT, industri 4.0 dan transformasi digital yang semakin pantas.

 

Katanya, memandangkan usaha berterusan kumpulan dalam menerima anjakan struktur ke arah segmen pertumbuhan yang lebih tinggi dan meletakkan strategi untuk transformasi digital, sumbangan pesanan khususnya daripada segmen automotif menyaksikan jumlah pertumbuhan yang meluas disokong asas pelanggan yang lebih luas dalam segmen tersebut.

 

"Walaupun persekitaran rantaian bekalan kekal mengganggu dan mencabar, kumpulan terus bekerjasama rapat dengan kedua-dua pelanggan dan pembekalnya untuk perancangan kapasiti dan keterlihatan yang lebih baik.

 

"Secara keseluruhan, kumpulan optimis untuk mencapai satu lagi tahun rekod pertumbuhan perniagaan selain meletakkan fokus berterusan untuk membangunkan portfolio produk yang lebih luas merentasi pasaran dan segmen utama dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja," katanya. - DagangNews.com