Segmen EV, ES dijangka pacu hasil Genetec Technology pada suku pertama | DagangNews Skip to main content

Segmen EV, ES dijangka pacu hasil Genetec Technology pada suku pertama

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Genetec Technology Bhd (GTB) dijangka merekodkan pertumbuhan untung bersih yang lebih kukuh pada suku pertama berakhir 30 Jun 2022, dipacu pesanan tertunggak daripada segmen kenderaan elektrik dan penyimpanan tenaga (ES).
 

Menurut CGS-CIMB Research, Genetec mempunyai jumlah pesanan tertunggak sebanyak RM270 juta setakat akhir Mei 2022, dengan 86.7% adalah berkaitan segmen EV dan EC manakala pemacu keras pula merangkumi 12.7%. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan kumpulan akan mengiktiraf sebahagian daripada pesanan ini pada suku pertama," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Berdasarkan laporan tahunan Genetec bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 (FY22), 3 pelanggan utamanya menyumbang sehingga 95% daripada hasil berbanding 81% pada FY21.

 

Ini terutamanya menerusi pelanggan C, yang menyaksikan hasil melonjak 5.8 kali ganda tahun ke tahun daripada RM28.2 juta pada FY21 kepada RM163.9 juta pada FY22. 

 

"Kami percaya bahawa pelanggan C adalah peneraju pengeluar EV Amerika Utara, Tesla. Kami melihat prospek pertumbuhan yang menarik untuk Genetec terutamanya dengan pelan pengembangan agresif Tesla untuk membina 20 juta EV setahun menjelang 2030.

 

"Secara keseluruhan, kami percaya pengembangan kilang EV baharu akan menyaksikan permintaan tinggi bagi penyelesaian pembuatan automasi dan ini menetapi pesanan Genetec," jelasnya.

 

Susulan itu, CGS-CIMB menaikkan unjuran pendapatan sesaham bagi FY23 hingga FY25 dengan mengambil kira sumbangan lebih tinggi daripada segmen EV dan EV disokong permintaan lebih tinggi bagi penyelesaian e-mobiliti.

 

Firma itu menjangkakan segmen EV dan EV akan menyumbang kira-kira 85 hingga 90% kepada hasil kumpulan pada FY23 hingga FY25.

 

"Genetec juga sedang berbincang dengan pelanggan utamanya bagi menambah sistem barisan pengeluaran pengisi elektrolit baharu untuk proses pemasangan sel bateri.

 

"Perancangan ini boleh menjadi pemacu pertumbuhan baharu bagi kumpulan kerana ia menawarkan nilai kandungan yang lebih tinggi bagi setiap barisan berbanding proses pembentukan," katanya. 

 

Ini mendorong firma itu mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Genetec dengan harga sasaran lebih rendah pada RM4.30 daripada RM4.50 sesaham sebelum ini. 

 

Setakat 12.30 tengah hari, harga sahamnya susut 7 sen atau 2.89% kepada RM2.35 dengan 1.54 juta saham diniagakan. - DagangNews.com