Segmen IT, operasi dan penyenggaraan Serba Dinamik pamer prestasi teguh | DagangNews Skip to main content

Segmen IT, operasi dan penyenggaraan Serba Dinamik pamer prestasi teguh

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Ir. Ts. Mohd Abdul Karim Abdullah
 
 

SHAH ALAM 5 Julai – Syarikat perkhidmatan minyak dan gas global, Serba Dinamik Holdings Berhad berkata segmen operasi dan penyenggaran serta teknologi komunikasi maklumat merupakan dua komponen yang menunjukkan prestasi teguh kepada kumpulan.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Ir. Ts. Mohd Abdul Karim Abdullah berkata, seperti kebanyakan syarikat, pihaknya turut terkesan daripada perintah kawalan pergerakan ekoran pandemik COVID-19.

 

Menurut beliau, kesan itu dirasai kerana operasi dan perniagaan Serba Dinamik terdapat di Asia Tenggara dan Timur Tengah, di mana kesemua rantau ini masih melaksanakan `lockdown’.

 

“Pembukaan perniagaan dan sempadan di Amerika Syarikat, Eropah dan United Kingdom adalah positif tetapi bagaimana ia boleh membantu pemulihan menyeluruh, masa akan menentukan.

 

“Kami berusaha keras untuk mencapai semaksimum mungkin bagi tahun 2021,” katanya dalam wawancara bersama The Malaysian Reserves yang disiarkan hari ini.

 

Mengakui cabaran tersebut selain isu syarikat dengan bekas juruauditnya, KPMG, Abdul Karim berkata, pihaknya telah menerima banyak pertanyaan daripada rakan niaga, pelanggan dan pembekal di seluruh dunia, dan syarikat perlu memberi penerangan.

 

“Ini bukan lagi isu setempat. Ia agak mencabar. Namun selagi syarikat memiliki fundamental teguh, kesemua pengurusan kanan teguh bersatu pada masa ini,” ujar beliau.

 

Sementara itu, di Bursa Malaysia, harga saham Serba Dinamik terus mencatatkan peningkatan, mengisyaratkan sentimen positif pelabur terutama terhadap berita pengesahan pelantikan EY sebagai penilai bebas.

 

Seorang remisier berkata, walaupun indeks bursa mencatatkan penurunan sebanyak 5.7 mata, saham Serba Dinamik terus meningkat.

 

Deadline bursa dipenuhi, saham Serba Dinamik rancak didagangkan

 

Minggu lalu, menurut satu laporan, keseluruhannya lebih 4 bilion unit saham Serba Dinamik didagangkan dalam tempoh 5 hari dari 28 Jun hingga 2 Julai.

 

Serba Dinamik merupakan antara yang tersenarai sebagai kaunter aktif dalam tempoh yang sama. Statistik yang dikeluarkan oleh Yahoo Finance menunjukkan saham Serba Dinamik paling banyak didagangkan pada 1 Julai lalu iaitu sebanyak 1,744,645,300 unit. – DagangNews.com

 

Saham panas hari ini - Media Prima, Serba Dinamik, UEM Sunrise, GUH, MAG, SCIB, Jetson, OCR, NWP