Segmen kereta terpakai jadi strategi penting Proton | DagangNews Skip to main content

Segmen kereta terpakai jadi strategi penting Proton

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

SHAH ALAM 29 Julai - Ketika industri automotif Malaysia mula untuk kembali pulih selepas terkesan akibat koronavirus, corak pembelian baharu mula terlihat di pasaran iaitu segmen kereta terpakai, mendorong Proton menjadikannya strategi penting pertumbuhan menerusi pengenalan jabatan Pengurusan Kereta Terpakai (UCM).

Segmen jualan kereta terpakai mencatat pertumbuhan, malah dianggap perkembangan yang tidak dijangka, di mana menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), telah meningkat 100% dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2020.

Perniagaan kereta terpakai adalah komponen penting dalam rantaian nilai automotif dan merupakan satu perkara yang jarang diberi perhatian.

Proton melihat ini sebagai sebahagian strategi penting dan mula memperkenalkan jabatan Pengurusan Kereta Terpakai (UCM) bagi melancarkan penjualan dan pengedaran kereta terpakai dalam usaha meningkatkan penjualan kereta baharu.

 

pro

 

Menyokong penjualan kereta baharu Proton dan meningkatkan nilai jualan kereta terpakai Jabatan UCM PROTON ditubuhkan pada 2019, dengan projek awal terdiri daripada lapan pusat jualan yang terletak di beberapa lokasi di pengedar.

Beberapa bulan awal digunakan untuk menetapkan prosedur operasi dan melatih pemeriksa kereta-kereta terpakai yang akan menguruskan transaksi di setiap pusat jualan.

Tahun ini, matlamat Proton adalah untuk mewujudkan operasi di 36 cawangan 3S/4S seluruh negara.

Ketua Pengurusan Kereta Terpakai Proton, Brian Cheah berkata, dengan pertumbuhan jualan Proton secara pantas dan dijangka terus meningkat dalam beberapa tahun akan datang, peranan pengurusan kereta terpakai menjadi lebih penting di mana syarikat ini akan membantu pelanggan yang ingin menukar ganti kereta terpakai mereka.

 

cheah
                                                  Brian Cheah

 

``Ketika Proton mula menubuhkan jabatan UCM pada tahun 2019, sasaran yang ditetapkan adalah untuk menyokong penjualan kereta baharu dan meningkatkan nilai jualan semula kereta Proton,” kata beliau.

Sasaran yang ditetapkan untuk UCM adalah penggantian jualan, di mana pemilik sedia ada menukar beli sebuah Proton baharu, bagi menyumbang sekurang-kurangnya 10% dari jumlah jualan bagi pusat jualan yang mempunyai perkhidmatan UCM.

``Syarikat juga telah memperkenalkan program untuk membantu mencapai sasaran seperti Proton Xchange, bagi menggalakkan pemilik sedia ada menggantikan kereta mereka dengan model Proton baharu,'' katanya.

Mengenai penjualan tukar beli kata Cheah, kereta yang dijual oleh UCM akan dipasarkan di bawah program Proton Certified Pre-Owned (PCPO) di mana semua kenderaan PCPO akan menjalani pemeriksaan 201 titik yang komprehensif dan dijamin tidak pernah mengalami banjir atau kerosakan struktur akibat kemalangan teruk.

Ia dilengkapi jaminan lanjutan selama 1 tahun meliputi enjin dan transmisi serta layak mendapat servis percuma sebanyak sekali (minyak enjin dan penapis minyak sahaja), sehingga 6 bulan dari tarikh kereta tersebut didaftarkan.

"Pada masa akan datang, UCM akan menubuhkan satu portal kereta terpakai Proton sebagai platform jualan dalam talian untuk menarik pembeli kereta terpakai yang aktif menggunakan teknologi dalam talian. Pelanggan berpotensi boleh melihat stok jualan dari dalam talian dan boleh melayari laman web untuk mendapatkan anggaran nilai untuk kereta mereka,” ujar Cheah.

Meskipun masih baharu berada di pasaran, pusat jualan UCM PROTON telah memberi kesan positif.

"Kami memulakan program UCM ini pada Oktober 2019 dan ia telah membantu Penasihat Jualan kami membuat perjanjian kepada pelanggan di mana kini kami berpeluang menawarkan nilai tukar beli yang kompetitif untuk kereta Proton terpakai," kata Ryan Lai, Pengarah Urusan LHM One Stop Car Service Center, sebuah pusat jualan 4S PROTON di Nilai, Negeri Sembilan.

 

pro2
Pusat Jualan 4S Proton miliki Atiara Johan di Puchong, Selangor adalah pusat UCM Proton pertama.

 

Judith Yam, Pengarah Urusan Atiara Johan, sebuah pusat jualan 4S PROTON di Puchong, Selangor, turut berkongsi pandangan beliau. “Atiara Johan dipilih menjadi pusat UCM PROTON pertama pada Jun 2019. Sejak diperkenalkan, program ini telah banyak meningkatkan jualan kami melalui penawaran insentif khas untuk pelanggan yang merupakan pemilik Proton sedia ada.

``Sehingga kini, kami telah mencatat lebih daripada 130 jualan tukar beli dan pelanggan turut menyatakan kepuasan mereka yang dilihat sebagai nilai tambahan bagi perkhidmatan yang disediakan bagi memudahkan mereka membeli kereta Proton baharu,” katanya. - DagangNews.com