Segmen pembuatan dijangka terus catat peningkatan positif - HLIB | DagangNews Skip to main content

Segmen pembuatan dijangka terus catat peningkatan positif - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mei - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan segmen pembuatan akan memberikan keputusan cemerlang didorong peningkatan permintaan untuk semikonduktor.

 

Firma itu melihat, Kobay Technology akan menerima manfaat daripada peningkatan itu selepas pembinaan kilang baharunya untuk pembuatan kerangka aluminium dan panel solar untuk perniagaan tenaga boleh diperbaharui sedang dalam fasa akhir.

 

"Kilang baharu itu dijangka mula beroperasi pada penghujung 4QFY22," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Terdahulu, kumpulan itu merekodkan keuntungan teras tertinggi pada 3QFY22 iaitu sebanyak RM15 juta selari dengan jangkaan dan ia meliputi 75% unjuran yang ditetapkan firma untuk tahun kewangan penuh.

 

Firma itu berkata, segmen pembangunan hartanah dijangka pulih secara beransur-ansur selepas mengambil kira Projek Langkawi yang akan siap sepenuhnya pada penghujung 2022.

 

Pemulihan itu juga didorong olek proses peralihan negara ke fasa endemik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa yang menarik lebih ramai pembeli asing.

 

"Kami menjangkakan aliran pendapatan baharu akan hadir daripada sektor farmaseutikal dengan ia mula memberi sumbangan positif bermula 1QFY22.

 

"Pengambilalihan Avelon Group (pemilikan 70%) pada Ogos 2021 juga memberi jaminan keuntungan kasar sebanyak RM25.5 juta untuk tempoh tiga tahun akan datang," katanya. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.08 didorong oleh kepelbagaikan struktur perniagaan kumpulan itu. - DagangNews.com