Segmen perniagaan solar, bateri EV Greatech dijangka terus berkembang - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Segmen perniagaan solar, bateri EV Greatech dijangka terus berkembang - PublicInvest

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Public Investment Bank Research mengekalkan penarafan 'outperform' terhadap Greatech Technology Bhd. memandangkan kumpulan mempunyai peluang cerah untuk terus berkembang dalam pasaran tenaga solar dan kenderaan elektrik (EV) global. 

 

Firma itu juga mengekalkan harga sasarannya pada RM7.70, dengan ditambat pada pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2022 sebanyak 17 sen dengan nisbah harga kepada pendapatan (PE) 45x.

 

Penganalisisnya, Chong Hoe Leong menyifatkan penilaian yang diberikan kepada Greatech adalah wajar berdasarkan kepada pendedahannya dalam tenaga diperbaharui seperti photovoltaic (PV) dan bateri EV.

 

Malah, katanya, ia juga mempunyai keupayaan untuk menghasilkan margin yang menarik bagi portfolio produknya dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 42% bagi keuntungan bersih untuk tahun kewangan 2022 hingga 2023. 

 

"Dengan mengambil kira kedua-dua sektor tenaga global dan automotif sedang mengalami perubahan struktur, diterajui oleh dasar-dasar yang lebih mapan, kami berpendapat, kumpulan boleh memanfaatkan pertumbuhan tenaga solar dan pasaran EV yang semakin berkembang pesat pada masa depan terutama kepakarannya dalam sistem barisan pengeluaran (PLS) dan peralatan automasi.

 

"Selain itu, penyertaannya dalam sektor perubatan baru-baru ini juga dapat membantu meningkatkan margin kumpulan pada masa akan datang, memandangkan tempahan bagi segmen perubatan secara umum menyaksikan margin yang lebih tinggi disebabkan syarat yang ketat," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

 

Baca : Greatech jangka kilang baharu di Batu Kawan siap menjelang April 2022

 

 

Greatech semalam mengadakan majlis pecah tanah secara maya sempena pembinaan kilang baharu di Batu Kawan, Pulau Pinang bernilai RM51 juta. 

 

Kemudahan baharu ini yang dijangka siap April 2022, akan menyaksikan kapasiti kumpulan meningkat kepada 1.1 juta kaki persegi, secara tidak langsung mampu memenuhi permintaan pelanggan daripada segmen tenaga solar, bateri EV dan perubatan. 

 

Secara menyeluruh, jumlah peruntukan perbelanjaan modal (capex) bagi pengembangan kapasiti secara besar-besaran ini menelan kos kira-kira RM200 juta. 

 

Selain bertapak di Malaysia dan Amerika Syarikat (AS), kumpulan turut merancang untuk menubuhkan pejabat jualan di Jerman, India, Swizerland dan Ireland. 

 

Berdasarkan panduan yang diberikan Greatech, Hoe Leong menjangkakan kumpulan akan menerima tambahan pesanan baharu sekitar RM300 hingga RM400 juta pada suku keempat tahun ini, terutama menerusi pelanggan utama bagi segmen tenaga solar. 

 

Katanya, ini akan menyaksikan kumpulan akan mengakhiri 2021 dengan sasaran nilai kontrak yang kukuh sebanyak RM550 juta. 

 

"Kami difahamkan oleh pihak pengurusan bahawa kumpulan menyasarkan sekurang-kurangnya RM500 juta nilai kontrak baharu pada tahun kewangan 2022 dengan lebih daripada separuh daripada segmen solar sebanyak RM300 juta manakala EV dan perubatan pula masing-masing RM100 juta," jelasnya. 

 

Bagaimanapun, beliau menyatakan, Greatech sudah pun mengenal pasti 25 bakal pelanggan baharu dalam segmen perubatan setakat ini dengan kebanyakannya di AS.

 

"Pada masa sama, kami juga menekankan yang Greatech menyasarkan untuk memperoleh lagi 3 atau 4 pelanggan baharu daripada segmen bateri EV setelah menyenarai pendek 8 firma di AS, di samping 4 pelanggan EV sedia ada buat masa ini," katanya. - DagangNews.com