Skip to main content
Kolum Iktisad - 5 October 2021

Sejauh mana anda faham mengenai risiko pelaburan dalam dana unit amanah?

 

 

PEMILIHAN untuk membuat pelaburan patuh syariah dalam dana unit amanah adalah satu daripada urusan perancangan kewangan individu untuk memastikan setiap ringgit bagi pelaburan mereka membawa keuntungan yang baik dan juga beroleh keberkatan. 

 

 

Oleh demikian, para ejen dan juga pelabur dinasihat untuk memastikan mereka faham dengan teori pelaburan, yang mana pulangan sesuatu pelaburan mesti berkait dengan tahap risiko diambil dalam pelaburan tersebut.

 

Apabila ingin memilih untuk melabur dalam dana unit amanah, maka yang pertama sekali, pastikan dana unit amanah tersebut adalah dana amanah patuh syariah. 

 

Secara dasarnya, kini terdapat lebih daripada 300 dana unit amanah yang patuh syariah dalam industri.

 

Kedua, para pelanggan perlu memeriksa selera risiko. Apa yang dimaksudkan di sini ialah, sejauh mana mereka mampu untuk rugi sekiranya pelaburan yang dibuat itu tidak menguntungkan, sebelum memilih dana-dana yang ditawarkan. 

 

Adakah mereka berselera risiko tinggi atau rendah risiko atau di antara kedua-duanya. 

 

Apabila telah yakin dengan selera risiko diri, maka para pelanggan boleh meminta penjelasan dan nasihat daripada ejen-ejen dana unit amanah untuk memilih pelaburan mana yang mereka inginkan. 

 

Harus diingatkan bahawa prinsip pelaburan yang berdasarkan kepada 'the higher the risk, the higher the return (pulangan)' akan terpakai di sini.

 

Di pihak ejen dana unit amanah pula, mereka bertanggungjawab menerangkan dengan jelas kelas-kelas dan risiko pelaburan sebelum meminta pelanggan menyesuaikan pilihan mereka dengan dana unit amanah yang mereka tawarkan. 

 

Pada masa sama, mereka juga perlu menceritakan sejarah prestasi dana unit amanah tersebut sama ada baik atau buruk. Dalam hal ini, ejen kena telus dalam penjelasan mereka.

 

Ini kerana tugas mereka bukan sahaja hendak menjual dana unit amanah tetapi menjadi penyebar ilmu kepada para pelanggan. 

 

Walaupun, para pelanggan sudah membaca prospektus dana unit amanah, namun, para ejen dinasihat untuk mengulangi lagi penerangan kepada para pelanggan tentang dana unit amanah mereka.

 

Antara perkara penting yang perlu diterangkan adalah seperti apakah 'aggressive fund', bagaimana 'fixed income fund works' dan kenapa pilih 'balance fund'. 

 

Tambahan pula, setiap risiko yang dicatat dalam prospektus juga perlu diulang kepada para pelanggan, agar mereka benar-benar faham tentang risiko pelaburan yang bakal mereka buat. 

 

Jangan lupa untuk menerangkan semua terminologi yang ditulis dalam prospektus tersebut.

 

Setelah para ejen menerangkan maka pada penulis barulah mereka 'terlepas' daripada tanggungjawab untuk memastikan bakal pelanggan mereka itu membuat pilihan tepat dengan selera mereka. 

 

Dalam erti kata lain para pelanggan telah dimaklumkan dengan baik oleh ejen yang beretika, komited dan bertanggungjawab sebelum mereka buat pilihan untuk melabur dalam dana unit amanah patuh syariah. 

 

Bagi penulis, inilah perkhidmatan 'tambah nilai' yang dinanti-nantikan oleh para pelanggan dana unit amanah. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS)
Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm
 

Portfolio Tags