Sejauh mana bank-bank mampu suntik pinjaman kepada syarikat penerbangan? | DagangNews Skip to main content

Sejauh mana bank-bank mampu suntik pinjaman kepada syarikat penerbangan?


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Akibat jangkitan pandemik COVID-19 menular ke segenap dunia termasuk Malaysia, industri penerbangan antara yang paling teruk terjejas akibat penutupan sempadan negara. 

Sejak itu, Malaysia mula menyaksikan banyak syarikat penerbangan di negara ini bergelut untuk terus bertahan.

Laporan berita yang memaparkan cabaran kewangan dihadapi oleh syarikat penerbangan baru-baru ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan institusi-institusi perbankan. 

Persoalan mula timbul sekiranya mereka perlu ‘menyuntik’ pembiayaan tambahan kepada pemain industri penerbangan yang terjejas. 

Bagaimanapun, CGS-CIMB Research menjangkakan kemungkinan bank-bank perlu memperuntukkan pembiayaan tinggi adalah rendah iaitu di bawah 1% daripada jumlah pemberian pinjaman mereka.

“Daripada semakan dengan bank-bank, kami menjangkakan pendedahan institusi itu dengan sektor penerbangan adalah kecil, pada purata di bawah 1% daripada jumlah pinjaman mereka termasuk pinjaman untuk individu yang bekerja atau dibuang daripada sektor penerbangan. 

“Masalah kewangan dihadapi syarikat penerbangan bukan sesuatu yang baharu. 

“Oleh itu, kami berpendapat kebanyakan bank telah menyediakan peruntukan cukup bagi menampung pendedahan mereka terhadap sektor penerbangan,” kata nota kajian CGS-CIMB. 

Jelas CGS-CIMB, tambahan pembiayaan yang perlu dikeluarkan oleh bank-bank juga tidak signifikan. 

Pada awal Oktober lalu, DagangNews.com melaporkan bahawa Malaysia Airlines Berhad (MAB) dijangka tidak mampu bertahan selepas November 2020 kecuali menerima suntikan daripada pemegang saham tunggalnya, Khazanah Nasional Berhad. 

Baca : Malaysia Airlines perlu suntikan dana

Baca : Firefly ganti Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan nasional?

Baca : Penstrukturan hutang AirAsia X: Kreditor tiada pilihan lebih baik, kata CGS-CIMB

Dalam pada itu, AirAsia X pula baru-baru ini mendedahkan cadangan penstrukturan semula hutang bernilai RM63.5 bilion kepada RM 200 juta. - DagangNews.com