Sekarang waktu sesuai beli rumah - PropertyGuru | DagangNews Skip to main content

Sekarang waktu sesuai beli rumah - PropertyGuru

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Dis. – Keadaan semasa yang mempengaruhi pasaran hartanah menjadikan ketika ini waktu sesuai untuk membeli rumah bagi mereka yang mampu dan mempunyai kewangan stabil untuk mencari harga yang berbaloi.

 

Ini berdasarkan kadar faedah yang rendah dalam sejarah, kegiatan promosi pemaju hartanah secara agresif, persaingan yang tinggi oleh penjual rumah atau ejen dan insentif di bawah program Kempen Pemilikan Rumah (HOC).

 

Namun, menurut Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez, keadaan ekonomi kini menunjukkan bahawa sikap berhati-hati menjadi faktor utama dalam setiap proses membuat keputusan, terutamanya disebabkan oleh ketidakpastian pekerjaan dan pendapatan.

 

"Pembeli rumah bukan sahaja perlu mempertimbangkan kos pemilikan rumah tetapi juga adakah mereka mampu menampung kos ini sambil membiayai perbelanjaan lain.

 

"Secara keseluruhannya, pembelian rumah memang digalakkan untuk mereka yang memiliki kedudukan kewangan baik dan yakin akan jaminan pendapatan masa depan mereka.

 

“Mereka yang berada dalam kedudukan ini akan mempunyai pilihan banyak di pasaran pembelian hartanah semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Berdasarkan Laporan Property Market Outlook 2021 oleh PropertyGuru, pasaran hartanah diramal bertambah maju pada separuh kedua tahun 2021 (2H21) didorong keadaan ekonomi dan kesihatan awam yang bertambah baik.

 

Seterusnya, pasaran hartanah dijangka bermanfaat daripada  pemulihan ekonomi berkenaan dalam kebiasaan baharu.

 

Ujar Fernandez, permintaan sedia ada yang tinggi terhadap pemilikan rumah kebanyakan besar akan berterusan.

 

“... Dan kita akan dapat menyaksikan pertumbuhan yang sihat dalam aktiviti transaksi hartanah.

 

“Namun, pemulihan ini dijangka berjalan secara beransur-ansur, selaras dengan langkah kita menyesuaikan diri dengan kehidupan pasca COVID-19,” katanya.

 

Tahun 2020 telah menyaksikan penurunan urus niaga hartanah secara ketara.

 

Menurut Tinjauan Kestabilan Kewangan 1H20 Bank Negara Malaysia (BNM), urus niaga hartanah menurun sekurang-kurangnya 25%, dari segi jumlah dan nilai.

 

Namun, pasaran hartanah terus menunjukkan daya tahan yang kuat kerana kemerosotan urus niaga hartanah kurang daripada yang dijangkakan, sebahagiannya didorong oleh pelbagai langkah dan inisiatif yang diambil oleh kerajaan.

 

Ini termasuk memperkenalkan kembali HOC yang meliputi pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT), pengecualian duti setem, dan penghapusan margin pembiayaan 70%.

 

Selain itu, moratorium pembayaran balik pinjaman selama enam bulan yang bermula pada bulan April lalu telah membantu menghindari kadar lalai (default rate).

 

Sementara itu, PropertyGuru turut mengenal pasti lima trend yang akan mempengaruhi sentimen pembelian rumah memasuki tahun hadapan.

 

Ini termasuk kadar faedah yang kondusif apabila Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75%.

 

Kedua, kesinambungan projek pembangunan infrastruktur mega menghasilkan kesan pengganda.

 

Ketiga, HOC terus menarik minat pembeli yang terbukti sebagai langkah efektif untuk memajukan pasaran yang menawarkan beberapa insentif kepada pembeli rumah, dan diharapkan kekal relevan sehingga 2H21.

 

Dalam pada itu, teknologi hartanah yang semakin kerap digunakan mendorong pemain utama industri hartanah untuk mempercepatkan usaha memasarkan produk dan berinteraksi dengan pembeli melalui inisiatif dalam talian.

 

Selain itu, perumahan mampu milik untuk golongan B40 membolehkan pemaju swasta untuk lebih menumpukan pada perumahan pasaran bebas sambil memberi laluan kepada kerajaan untuk menjalankan tanggungjawab dalam menyediakan perumahan yang baik untuk rakyat. – DagangNews.com