Sekatan pergerakan di Malaysia rencatkan pemulihan eksport Thailand | DagangNews Skip to main content

Sekatan pergerakan di Malaysia rencatkan pemulihan eksport Thailand

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Sektor eksport Thailand dijangka berdepan pemulihan yang perlahan apabila negara-negara jiran seperti Malaysia melaksanakan sekatan pergerakan.

Selain Malaysia, sekatan pergerakan di Eropah juga mungkin memberi impak negatif kepada pemulihan eksport Thailand menjelang tempoh beberapa bulan mendatang. 

Menurut MIDF Research, sektor eksport dan import Thailand masing-masing menurun sebanyak -23.5% dan -20.3% pada suku ketiga 2020 (3Q20) berbanding tempoh sama pada tahun lalu. 

“Penurunan eksport telah mengheret pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 3Q20 Thailand menguncup sebanyak -16.9% mata.

“Kesemua komponen utama dalam KDNK itu menguncup pada 3Q20 kecuali perbelanjaan kerajaan Thailand di mana meningkat pada kadar yang pantas sebanyak 3.4% berbanding tempoh sama pada tahun lalu,” jelas MIDF dalam nota kajiannya. 

Perkhidmatan eksport yang lemah dijangka berterusan memandangkan sektor pelancongan masih terjejas teruk.

Bermula 9 November lalu, Malaysia mengumumkan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negeri semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan. 

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 1,103 kes baharu sekali gus menjadikan jumlah kes keseluruhan mencecah 48,520. 

Sementara itu, beberapa negara di Eropah turut melaksanakan perintah berkurung untuk kali kedua selepas berdepan gelombang ketiga penularan jangkitan COVID-19. 

Setakat pagi tadi, Thailand mencatatkan jumlah kes jangkitan COVID-19 sebanyak 3,878.

Selain berdepan cabaran penularan COVID-19, protes dan ketidaktentuan politik di Thailand juga memberi risiko kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kami menjangkakan pertumbuhan KDNK di Thailand berterusan pulih disokong oleh lonjakan aktiviti domestik dan pemulihan lanjut daripada permintaan luar. 

“Bagaimanapun, prospek eksport akan lemah sekiranya sekatan baharu dilaksanakan untuk mengekang penularan COVID-19 terutamanya di negara-negara Eropah yang bakal merencatkan eksport Thailand ke negara-negara berkenaan,” tambah MIDF. - DagangNews.com