Sekatan rentas negeri mungkin cecah 6 minggu - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Sekatan rentas negeri mungkin cecah 6 minggu - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com


 

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Sekatan rentas daerah yang sedang dikuatkuasakan selama dua minggu bermula 13 Januari lalu mungkin berlanjutan dalam tempoh empat ke enam minggu, ramal CGS-CIMB Research dalam dua nota kajian berbeza.

 

Penguatkuasaan itu adalah seiring pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang awalnya dikenakan ke atas enam negeri di Malaysia sehingga 26 Januari depan. 

 

Ini memberi tekanan terhadap trafik penumpang perjalanan udara, sekali gus meletakkan impak negatif ke atas syarikat penerbangan, AirAsia Group Berhad (AirAsia) dan pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

 

“Bagi suku keempat 2020 (4Q20), jumlah penumpang MAHB di Malaysia mencecah 2.06 juta berbanding ramalan kami, 1.93 juta, dengan jumlah penumpang domestik sebanyak 1.81 juta dan antarabangsa (0.24 juta). 

 

“Tetapi dengan sekatan perjalanan antara negeri dikenakan pada 13 Januari yang kami jangka kekal sehingga empat ke enam minggu akan memberi impak negatif dalam masa terdekat kepada trafik penumpang MAHB di Malaysia. 

 

“Ini (juga akan) memberi kesan negatif kepada perniagaan penerbangan AirAsia di Malaysia dalam masa terdekat,” jelas CGS-CIMB dalam dua nota kajian berbeza terhadap AirAsia dan MAHB. 

 

Trafik penumpang domestik Malaysia mula pulih apabila sekatan perjalanan antara negeri ditarik semula pada 7 Disember sejak dikuatkuasakan pada pertengahan Oktober 2020 di Lembah Klang dan Sabah. 

 

Kemudiannya, penguatkuasaan itu dilanjutkan ke seluruh negara bermula 9 November hingga 6 Disember. 

 

Prestasi kewangan bagi 4Q20 AirAsia dan MAHB masing-masing dijangka diumumkan pada 25 dan 26 Februari depan. 

 

CGS-CIMB mengunjurkan kerugian bersih antara RM1.4 bilion hingga RM1.5 bilion bakal dicatatkan AirAsia, sementara MAHB dijangka berdepan RM498 juta kerugian bersih. 

 

“Ramalan tahun kewangan 2021 (FY21) menjangkakan trafik penumpang domestik AirAsia di Malaysia akan pulih kepada 60% daripada jumlah pada 2019 dan trafik penumpang antarabangsa akan pulih kepada 45% daripada tahun 2019, bergantung kepada pelancaran vaksin COVID-19,” ujar CGS-CIMB lanjut. 

 

Dalam nota kajian berbeza, pemulihan trafik penumpang MAHB juga bergantung kepada pelancaran vaksin COVID-19 di dalam negara. 

 

Menurut firma penyelidik itu, Ketua Pegawai Eksekutif Galen Centre for Health & Social Policy, Azrul Mohd Khalib yang memetik laporan The Economist Intelligence Unit menjangkakan hanya 60% daripada populasi Malaysia akan divaksinkan menjelang 2Q23, iaitu dua tahun lagi. 

 

“Sasaran Malaysia untuk menvaksinkan 80% daripada populasinya menjelang 1Q22, bermula Mac tahun ini dilihat optimistik, menurut beberapa penganalisis,” tambah CGS-CIMB lagi. 

 

CGS-CIMB menyarankan untuk ‘kurangkan’ saham AirAsia, sementara meletakkan penarafan ‘tambah’ untuk saham MAHB. - DagangNews.com