Skip to main content

Sektor logistik akan paling teruk terkena impak pengharaman rokok

Ia amat membimbangkan bahawa larangan itu akan merangsang pertumbuhan rantaian bekalan logistik pasaran gelap di Malaysia yang memberi kesan kepada pengendali logistik yang sah

PENGHARAMAN rokok dan produk tembakau akan mengakibatkan kerugian jangka panjang yang teruk bagi perniagaan yang beroperasi dalam industri tembakau, daripada pengilang kepada pembekal, pemborong kepada pengedar.

 

Wakil sektor logistik di Malaysia yang terlibat dalam rantaian bekalan produk tembakau, menyatakan kebimbangan mengenai cadangan dasar Kerajaan untuk mengharamkan penjualan rokok kepada individu yang dilahirkan selepas 2007.

 

Menurut jurucakap operator logistik, adalah mengelirukan untuk mempercayai bahawa hanya akan ada kos ekonomi yang minimum kesan daripada pelaksanaan larangan tersebut.

 

Katanya, selain memberi impak kepada hasil perniagaan, ia juga akan menjejaskan perniagaan kerana mereka yang lahir selepas 2007 tidak dibenarkan bekerja di syarikat yang terlibat dalam rantaian bekalan tembakau.

 

“Bakat muda adalah aset utama syarikat logistik, tanpa mereka, perniagaan tidak akan dapat bertahan,” tambah jurucakap itu.

 

“Kami terkejut dengan Rang Undang-undang itu kerana mempunyai kesan langsung kepada perniagaan kami dan Kementerian Kesihatan tidak melibatkan kami sebelum pembentangan Rang Undang-undang itu.

 

“Mereka sepatutnya mendapatkan pandangan dan maklum balas kami terlebih dahulu,” ujar beliau.

 

Larangan yang dicadangkan itu hanya akan memperbesarkan lagi perdagangan tembakau seludup di Malaysia.

 

Jurucakap itu berkata bahawa skala perdagangan tembakau seludup di Malaysia tidak boleh dipandang remeh, kerana ia kini mencapai lebih 60%.

 

"Sindiket penjenayah ini banyak jumlahnya, sangat canggih, dan cepat menyesuaikan diri."

 

Dengan sekatan pengangkutan rokok yang dikenakan pada tahun lepas, sindiket itu pantas menukar modus operandi mereka daripada berlabuh di pelabuhan besar kepada memunggah ke bot laju kecil atau kapal nelayan sebelum menurunkan di jeti persendirian dan tempat mendarat di seluruh kawasan pantai.

 

Ia amat membimbangkan bahawa larangan itu akan merangsang pertumbuhan rantaian bekalan logistik pasaran gelap di Malaysia yang memberi kesan kepada pengendali logistik yang sah seperti kami,” kata jurucakap itu.

 

“Ia adalah tidak adil kepada entiti yang mematuhi undang-undang seperti kami. Kami membayar cukai dan menyumbang kepada negara, manakala entiti haram mengelak cukai, dan perniagaan mereka terus berkembang.

 

“Adakah ini cara Kerajaan membantu perusahaan pulih daripada pandemik COVID-19?,” soal beliau.

 

Walaupun Kerajaan komited untuk meningkatkan penguatkuasaan, kami tetap ragu bahawa sebarang usaha penguatkuasaan akan berkesan. Dengan larangan itu, pasaran seludup akan meletup secara tidak terkawal,” ujarnya. – DagangNews.com