Sektor penyiaran, penghantaran merosot ketika PKPP | DagangNews Skip to main content

Sektor penyiaran, penghantaran merosot ketika PKPP

MCMC

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Julai - Sektor penyiaran serta penghantaran dan kurier mengalami sedikit kemerosotan dari segi pasaran modal semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, pasaran modal sektor penyiaran merosot kepada RM4.75 bilion daripada RM5.59 bilion pada Jun 2020.

Pasaran modal bagi sektor penghantaran dan kurier pula merosot kepada RM2.74 bilion daripada RM3.01 bilion bagi tempoh sama, selepas berdepan dengan permintaan tinggi sepanjang PKP.

“Bagaimanapun, sejak Januari 2020, industri komunikasi dan multimedia (C&M) agak stabil dari segi pasaran modal walaupun berdepan krisis penularan COVID-19.

“Pasaran modal C&M menyumbang sebanyak RM137.74 bilion atau 8.7% daripada jumlah keseluruhan pasaran modal Bursa Malaysia, RM1,579.59 bilion,” kata SKMM dalam satu kenyataan hari ini. 

 

mcmc

 

Dalam pada itu, pasaran modal C&M diterajui oleh sektor telekomunikasi sebanyak RM130.25 bilion, didahului oleh Maxis (2.66%) dan Digi (2.12%).

Sementara itu, sejak pelaksanaan PKP pada pertengahan Mac 2020, penyambungan internet menjadi satu keperluan penting bagi mereka yang bekerja dari rumah.

Bagaimanapun, SKMM mendapati data terkini daripda SpeedTest bagi Mei 2020 menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan ketiga di ASEAN bagi purata kelajuan muat turun jalur lebar tetap dengan kelajuan 81.08 Mbps.

 

mcmc

“Bagi purata kelajuan muat turun jalur lebar mudah alih, Malaysia mencatatkan kelajuan 22.18 Mbps, iaitu pada kedudukan 89 di seluruh dunia.

“Kedudukan itu naik sembilan anak tangga berbanding April 2020,” jelas SKMM.

Berdasarkan kedudukan kelajuan muat turun internet oleh negara-negara terpilih serta ASEAN, Korea Selatan menduduki tangga pertama diikuti oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE), Singapura, Hong Kong, Taiwan, Jepun, Vietnam, Thailand, Myanmar dan Malaysia. - DagangNews.com