Sektor REIT masih ada peluang kembali pulih - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Sektor REIT masih ada peluang kembali pulih - AmInvestment

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Sektor REIT dijangka berdepan pemulihan yang tidak menentu, namun ia dilihat semakin bertambah baik apabila ekonomi dibuka semula secara berperingkat. 

 

Ini membolehkan AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'overweight' bagi sektor berkenaan membabitkan REIT di bawah liputannya. 

 

Berdasarkan anggarannya, hasil yang diagihkan REIT adalah lebih 5% bagi tahun kewangan 2023 dan seterusnya jika dibandingkan dengan persekitaran kadar faedah yang rendah ketika ini. 

 

"Kami melihat sektor ini sebagai pilihan saham berasaskan pemulihan dan mendapat manfaat daripada ekonomi pasca pandemik," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada suku kedua tahun kewangan 2021, 3 daripada 4 syarikat REIT di bawah liputannya iaitu IGB REIT, Sunway REIT dan Pavilion REIT melaporkan prestasi di bawah jangkaan disebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) manakala YTL Hospitality REIT (YTL REIT) pula memenuhi sasaran diunjurkan.

 

Ketika fasa pertama di bawah Pelan Pemulihan Negara pada suku kedua itu, jumlah pengunjung ke pusat beli-belah hanya sekitar 10 hingga 30% daripada paras sebelum wabak berbanding melebihi 60% ketika PKP pada Mei tahun lalu. 

 

Bagaimanapun, REIT di bawah liputannya menyaksikan jumlah pengunjung yang agak baik ketika PKP berbanding pusat beli-belah lain yang bergantung kepada pekerja pejabat atau pelancong. 

 

"Ini disebabkan pengunjung yang membeli barang keperluan seperti barang-barang dapur dan penjagaan kesihatan dalam tempoh PKP," tambahnya. 

 

Namun, menurut AmInvestment, kadar penghunian bagi pusat beli-belah REIT di bawah liputannya berdepan sedikit penurunan memandangkan perbincangan dijalankan membabitkan penyewaan baharu atau memperbaharui penyewaan sedia ada. 

 

"Oleh itu, kami melihat kadar ini masih kekal kukuh melebihi 90% membabitkan pusat beli-belah utama REIT," katanya.

 

Dalam kalangan REIT di bawah liputannya, firma itu memilih Sunway REIT berdasarkan kedudukan portfolio pelaburannya yang pelbagai termasuk pusat beli-belah, hotel, ruang pejabat, universiti dan hospital. - DagangNews.com