Sektor sawit Malaysia disenarai hitam Jabatan Buruh Amerika Syarikat | DagangNews Skip to main content

Sektor sawit Malaysia disenarai hitam Jabatan Buruh Amerika Syarikat

KUALA LUMPUR 17 Okt. - Malaysia telah tergolong dalam Senarai Barangan Yang DiHasilkan Oleh Buruh Paksa dan Buruh Kanak-Kanak yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh Amerika Syarikat (US DOL) pada 30 September lalu, khusus dalam sektor pembuatan sarung tangan getah yang merupakan tambahan kepada senarai sedia ada yang telah dikeluarkan sebelum ini.

 

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam reaksi berkata, kementerian melalui Jabatan Tenaga Kerja sentiasa mengambil tindakan proaktif melalui aktiviti pemeriksaan berkanun secara berkala dan mengejut serta pemeriksaan bersepadu terhadap syarikat-syarikat utama industri pembuatan produk berasaskan getah.

 

"Pemeriksaan dibuat bagi memastikan syarikat-syarikat ini mematuhi peruntukan undang-undang khususnya Akta Kerja 1955 [Akta 265]. Tindakan yang sewajarnya diambil terhadap syarikat-syarikat yang terbukti telah melakukan kesalahan," kata kementerian dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menurut KSM lagi, beberapa sesi dialog bersama majikan industri pembuatan getah turut diadakan dan sesi ini dipengerusikan oleh Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia.

 

KSM
M. Saravanan

 

Selain itu kata kenyataan itu, beberapa siri mesyuarat telah dianjurkan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) bagi membincangkan mekanisme dan operasi pelaksanaan Independent Social Compliance Audit serta pematuhan terhadap perundangan perburuhan negara dan piawaian perburuhan antarabangsa di bawah International Labour Organisation (ILO).

 

"Melalui pelbagai inisiatif yang diambil, pihak industri dan syarikat-syarikat utama industri pembuatan getah turut memberi komitmen dan kerjasama dengan mengambil tindakan pembetulan terhadap ketidakpatuhan berhubung hak dan kebajikan, perundangan dan keselamatan serta kemudahan pekerja.

 

"Kementerian ini akan terus mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana majikan yang masih gagal mematuhi perundangan dan peraturan perburuhan negara," ujarnya.

 

Menteri Sumber Manusia pada 21 Julai lalu telah mengadakan sesi perjumpaan bersama Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) dan syarikat-syarikat industri berasaskan getah bagi membincangkan isu sekatan ke atas syarikat pembuat sarung tangan getah oleh AS yang berpunca daripada dakwaan amalan buruh paksa.

 

"Susulan itu, Jawatankuasa Task Force Pematuhan Perundangan dan Dasar Perburuhan bagi Industri Berasaskan Getah telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini ditubuhkan bagi memastikan syarikat mematuhi dasar-dasar berhubung penggajian pekerja termasuk penggajian pekerja bukan warga negara," katanya.

 

Selain itu, KSM sentiasa mengambil inisiatif-inisiatif proaktif dalam menangani isu buruh paksa dalam sektor pembuatan seperti berikut:
(i) Pada tahun 2019, sejumlah 10,513 pemeriksaan berkanun telah dilaksanakan oleh JTKSM dalam sektor pembuatan;
(ii) Kertas siasatan telah dibuka ke atas 7 buah syarikat di negara ini bagi pelbagai jenis perlanggaran Akta Kerja 1955 (Akta 265) dan tindakan kompaun telah dikenakan terhadap majikan atas kesalahan tersebut;
(iii) Pindaan Akta Standard Minimum dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) bagi menetapkan standard minimum penginapan, perumahan dan persekitaran yang selamat untuk mencegah penyakit berjangkit dan menambah baik keadaan hidup semua pekerja. Akta dan peraturan ini telah pun berkuatkuasa pada 1 Jun 2020 dan 1 September 2020.

 

"KSM juga tidak akan bertoleransi dan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan isu-isu berkaitan buruh paksa," kata kementerian. - DagangNews.com