Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Volatiliti - 27 April 2022

Sekuriti makanan di Malaysia perlu dipandang serius

 

 

 

KINI negara dalam fasa memulihkan semula ekonomi. Namun  apa yang kerajaan perlu ambil langkah serius dalam agenda utama negara ialah memastikan sekuriti makanan di Malaysia.

 

Pengalaman semasa, kita lihat ketika tempoh 2 tahun  semasa COVID-19 dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan rantaian pengeluaran bekalan makanan terancam kerana kebergantungan negara terhadap produk makanan yang perlu diimport.

 

Selain itu, penghantaran bekalan  makanan juga  menjadi perlahan akibat masalah logistik dan kekurangan buruh atau kebergantungan dengan buruh asing sehingga merencatkan pengeluaran bekalan makanan.

 

Situasi ini menyebabkan negara perlu lebih bergantung dengan bekalan domestik. Hal ini menyebabkan ramai rakyat risau tentang kecukupan bekalan makanan di Malaysia.

 

Konflik Rusia-Ukraine burukkan bekalan makanan

Berikutan serangan Rusia ke atas Ukraine, Pertubuhan Negara Atlantik Utara (NATO) mengenakan sekatan terhadap bekalan minyak Rusia selaku pengeluar minyak ke-10 terbesar dunia dan negara kedua berpengaruh di bawah Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

 

Harga petrol yang naik mencecah lebih daripada tiga digit iaitu melepasi AS$100 satu tong mengheret kesan langsung kepada petani apabila kos pengangkutan, baja dan kimia berasaskan petrol meningkat.

 

Kos baja meningkat melebihi 100%  dan  menyebabkan margin keuntungan semakin mengecil dan hal ini menyebabkan pengeluaran makanan seperti beras, sayur-sayuran, dan  makanan proses berkurangan.

 

Dalam masa yang sama konflik antara kedua negara ini juga membawa kepada paras harga komoditi makanan seperti soya dan gandum berada pada paras tinggi.

 

Ini kerana Rusia pula pengeluar soya dan  Ukraine adalah pengeluar utama gandum. Konflik kedua negara ini mempengaruhi soya dan gandum. Harga soya yang meningkat menjejaskan kod fid untuk ternakan kerana ia adalah bahan utama.

 

Kesan berganda yang berlaku dengan kenaikan harga soya yang menyebabkan peningkatan permintaan jagung yang juga bahan utama fid ternakan.

 

Maka industri ayam daging, lembu dan kambing tempatan akan  menanggung kos yang lebih tinggi dan kekurangan keuntungan kerana dibebani kos bahan api, pengangkutan, jagung dan soya.

 

volatiliti

 

Malaysia di kedudukan ke-39, Indeks Sekuriti Makanan (GFSI)

Data dan statistik terkini menunjukkan Malaysia berada di tangga ke-39 GFSI dalam laporan yang dikeluarkan oleh Unit Perisikan Ekonomi (EIU) bagi tahun 2021 daripada 113 negara seluruh dunia 113 negara yang dibahagikan kepada 6 rantau iaitu Asia Pacifik, Eropah, Amerika Latin, Timur Tengah dan Afrika Utara, Sub-Sahara Afrika, dan Amerika Utara.

 

Indikator GFSI

GFSI dibangunkan oleh The Economist Intelligence Unit (EIU) yang berpusat di London, United Kingdom. Pihak EIU mendapat sokongan kewangan daripada Corteva Agriscience iaitu syarikat pertanian global yang menjalankan aktiviti perdagangan secara terbuka bagi membantu petani di seluruh dunia dalam memaksimumkan produktiviti untuk meningkatkan hasil dan keuntungan.

 

Terdapat 58 indikator dengan ukuran kualitatif dan kuantitatif  yang digunakan oleh pihak EIU yang dibahagikan kepada 4 kategori iaitu:-

  • Affordability;
  • Availability;
  • Quality & Safety; dan
  • Natural Resources & Resilience.

 

Daripada 4 kategori ini, Pihak EIU akan menggariskan faktor-faktor yang perlu diberi perhatian dan mempengaruhi senario semasa dalam memacu sekuriti makanan. Maka, kerajaan Malaysia boleh memberi perhatian daripada laporan pihak EIU ini dalam merancang pelan terbaik bagi sekuriti makanan di Malaysia

 

Sektor makanan ditakuk lama

Perkembangan sektor makanan di Malaysia perlu dikembangkan dengan baik mengikut keperluan dan kehendak semasa. Sektor makanan kita masih lagi berada ditakuk yang lama di mana defisit import meningkat dari RM21.6 bilion  pada 2020 kepada RM28.7 bilion pada tahun 2021. Bilangan import juga turut meningkat daripada RM55 bilion kepada RM63 bilion.

 

Ini menunjukkan tahap sara diri bagi membangunkan bekalan makanan negara semakin menurun. Kebergantungan bekalan makanan kepada negara luar ini dilihat sesuatu yang perlu “dikaji dan ditambah baik”.

 

volatiliti

 

Perkasakan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan (DSMN) 2021-2025

Kerajaan telah pun mengambil inisiatif awal bagi isu bekalan makanan di Malaysia. Terdahulu, kerajaan telah membangunkan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan  2021-2025 bagi memperkukuh sekuriti makanan negara bermula daripada input pertanian hingga ke sisa makanan.

 

Pelan ini merangkumi 5 teras strategik, 15 strategi dan 96 inisiatif ini dijangka akan dapat memastikan kesinambungan bekalan makanan negara pada setiap masa, khususnya dalam menghadapi situasi di luar jangkaan.

 

Bagaimanapun perancangan dasar tidak akan berjaya tanpa pelaksanaan yang efektif dan berkesan supaya memberi impak lebih besar dalam kesejahteraan rakyat. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) perlu melaksanakan semua strategi dan inisiatif yang dirancang di bawah DSMN bagi menyelesaikan isu sekuriti makanan negara.

 

Mantapkan tadbir urus sekuriti makanan

Kerajaan  juga perlu  mengambil langkah-langkah progresif bagi memantapkan tadbir urus sekuriti makanan negara dan mentransformasikan sektor agromakanan ke tahap yang lebih baik.

 

 Ia bertujuan untuk memastikan bekalan makanan terjamin, mencukupi dan terkawal dalam apa jua keadaan.

 

Selain itu, kerajaan boleh membantu dengan instrumen seperti memberikan subsidi, bantuan kewangan, kawalan harga, import permit dan lain-lain lagi.

 

Perlu Pindaan Akta FAMA 1986

Dalam isu kebergantungan bekalan ternakan seperti daging dan seumpamanya, kerajaan perlu segerakan membuat pindaan kepada Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 1965.

 

Pindaan ini akan membolehkan FAMA mengurus pemasaran komoditi ternakan tertentu. Pindaan ini juga dilihat boleh memperkasa peranan FAMA dalam memainkan peranan dalam pengedaran komoditi ternakan serta menstabilkan rantaian bekalan.

 

 

FAMA

 

 

FAMA merupakan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang diberi kuasa di bawah Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 (Akta 141) bagi menyelia, menyelaras, mengawal selia dan memajukan pemasaran keluaran pertanian Malaysia.

 

Hal ini selari dengan Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara 2021-2025 dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara 2021-2025 bagi membangunkan industri ruminan negara.

 

Dijangka melalui pelan-pelan ini, sasaran pengeluaran daging dan susu segar tempatan akan dapat ditingkatkan untuk mencapai sasaran 50% sasaran tahap sara diri (SSL) bagi pengeluaran daging dan 100% SSL untuk susu segar menjelang tahun 2025.

 

Kurangkan kebergantungan import

Melalui pelbagai pelan mahupun pindaan akta, pendekatan jangka masa panjang yang perlu dilakukan oleh kerajaan ialah dengan mengurangkan kebergantungan negara terhadap bekalan makanan yang diimport.

 

Sudah sampai masanya, Malaysia “berdikari” sendiri dengan sumber negara yang ada.  Buat masa kini, tahap keberdikarian untuk produk makanan seperti beras, daging lembu, sayur-sayuran, produk tenusu dan lain-lain lagi rendah

 

Fokus dan tumpuan perlu diubah

Kini, kerajaan perlu memberi fokus kepada sektor pertanian bagi menjamin sekuriti bekalan di Malaysia. Jika dahulu sektor pertanian bukan “sektor utama ekonomi” negara tetapi kini sektor ini sama pentingnya dengan sektor perkilangan dan pembuatan.

 

Jika dahulu fokus utama kerana membangunkan sektor utama negara yang memberi pulangan yang tinggi dan menyokong perkembangan Kadar Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tetapi kini sektor pertanian dianggap sama pentingnya bagi menjamin sekuriti makanan di Malaysia.

 

volatiliti

 

Bangunkan R&D dalam sektor makanan

Bagi membangunkan sektor pertanian dan makanan ini, kerajaan perlu juga meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) tanaman makanan, ternakan, nelayan dan lain-lain pembangunan dalam sektor ini.

 

Ini akan membantu sektor ini untuk berkembang dengan baik dengan teknologi terkini dan dapat memaksimumkan pengeluaran. Dalam masa yang sama juga akan dapat meningkatkan pendapatan petani dan penternak di mana kebanyakannya mereka ini daripada kumpulan rakyat B40.

 

Kerajaan melalui MAFI atau agensi terlibat perlu juga mendorong penglibatan rakyat dalam pertanian dan penternak moden terutamanya dalam kalangan generasi muda bagi meningkatkan pengeluaran bekalan makanan. Tidaklah rakyat yang terlibat dengan pertanian dan ternakan ini  dengan rakyat yang telah berusia.

 

Dengan tenaga dan keupayaan generasi muda pastinya industri pertanian dan ternakan di Malaysia akan menghasilkan pengeluaran yang baik bagi menjamin masalah sekuriti makanan di Malaysia.

 

Sektor makanan perlu berdaya saing

Untuk menghadapi isu sekuriti makanan ini, kerajaan juga perlu membangunkan sektor pengeluaran makanan menjadi sektor moden, berdaya saing dan komersial.

 

Kita tidak pasti sama ada negara akan cukup atau tidak bekalan makanan untuk tempoh 5  atau 10 tahun lagi?

 

Semoga semua pelan dan dasar serta inisiatif yang dibangunkan  mampu untuk menjamin keselamatan kecukupan bekalan makanan buat rakyat Malaysia! – DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

Portfolio Tags