Skip to main content
DagangNews.com
Kolum MULANYA DI SINI - 1 August 2022

Seladang dan Beruang Tetap Terus Hidup, Tetapi Babi?

Oleh Wan Mohd Farid Wan Zakaria

 

 

 

“Eh sir, why pigs?”. Secara spontan pelajar itu bersuara sebaik terdengar pepatah lama dari Wall Street, “Bulls Make Money, Bears Make Money, Pigs Get Slaughtered”.

 

Pepatah ini sebenarnya memberi amaran terutamanya pelabur dan pedagang saham tentang terhadap ketamakan yang berlebihan.

 

Ia juga merujuk kepada jenis pelabur dan pedagang yang mengambil bahagian dalam pasaran saham.

 

Dan pepatah ini juga boleh dikaitkan dengan psikologi pasaran saham dan Prinsip dari Teori Dow iaitu major trends have three phases.

 

Siapa Bull, Siapa Bear?

Bull merujuk kepada pelabur yang membeli saham dengan jangkaan bahawa saham akan meningkat harga dan mereka akan membuat keuntungan.

 

Pelabur yang optimis kadang-kadang dipanggil sebagai spekulator, ini adalah kerana mereka membeli saham tertentu bergantung pada jangkaan bahawa harga akan menaik dalam tempoh terdekat.

 

Secara amnya, pelabur jenis ini mempunyai keyakinan yang tinggi (optimis) terhadap peningkatan dalam pergerakan harga saham di pasaran.

 

masmed

 

Mereka akan mula membeli saham tertentu dengan  kepercayaan bahawa harga saham yang dibeli akan naik lebih tinggi dan mereka bakal membuat pulangan atau keuntungan yang besar.

 

Manakala bear pula merujuk kepada jenis pelabur membuat keuntungan semasa kejatuhan harga saham di pasaran.

 

Pelabur ini biasanya bersikap pesimistik terhadap pergerakan pasaran saham. Mereka menggunakan beberapa strategi untuk mendapatkan keuntungan dengan kejatuhan di pasaran saham.

 

Mereka menggunakan beberapa strategi untuk mendapatkan keuntungan dengan kejatuhan di pasaran, dan menanggung kerugian apabila harga saham naik.

 

Antara strategi yang popular digunakan adalah Jualan Singkat di mana ia di luar norma kebiasaan strategi pelaburan – beli rendah,  jual tinggi.

 

Tetapi strategi jualan singkat ini adalah songsang, bermaksud pelabur cuba membuat keuntungan dengan menjual saham pada harga yang tinggi terlebih dahulu dan kemudiannya membeli balik saham dengan harga yang rendah dengan jangkaan bahawa terdapat kejatuhan harga.

 

Apa Itu Jualan Singkat?

Jualan singkat atau lebih dikenali sebagai short selling adalah salah satu strategi perdagangan saham yang popular melibatkan pedagang meminjam saham dan menjualnya di pasaran terbuka dengan jangkaan harga saham akan jatuh.

 

Apabila harga saham jatuh, pedagang akan membeli balik saham pada harga yang lebih rendah dan membuat keuntungan.

 

masmed

 

Tetapi keuntungan hasil dari strategi ini adalah tidak semudah yang disangka kerana di sebalik tabir ia melibatkan proses yang agak renyah.

 

Untuk membuat jualan singkat, ia perlu dilakukan dalam pergerakan harga saham menurun (bear market) atau dengan jangkaan harga saham tertentu akan jatuh.

 

Bagi melaksanakan strategi ini, pedagang perlu meminjam saham tertentu daripada perantara (kebiasaannya adalah broker saham) dan seterusnya menjualnya di pasaran.

 

Sebaik sahaja harga saham itu jatuh, pedagang akan membeli balik pada harga yang lebih rendah. Saham yang di beli akan dipulangkan balik kepada perantara dengan caj yang berkaitan.

 

Keuntungan yang dibuat oleh pedagang adalah, perbezaan dari harga jualan dan harga belian dan setelah menolak caj yang berkaitan dengan transaksi yang dibuat oleh pedagang.

 

Kerugian yang perlu ditanggung oleh pedagang apabila pergerakan harga songsang atau berlawanan dengan jangkaan. Ini berlaku apabila pergerakan harga saham dalam keadaan menaik bukannya menurun.

 

Pedagang perlu membeli balik saham pada harga yang tinggi kerana perlu menghormati tempoh perjanjian dengan perantara (pulangkan balik saham yang dipinjam). Di sini boleh dikatakan strategi jualan singkat ini adalah berisiko kerana tiada had kerugian sekiranya kenaikan harga saham berlaku secara mendadak.

 

Kenapa Pig?

Mengambil sebahagian daripada pepatah iaitu “Pigs Get Slaughtered”, ini membawa maksud bahaya jika terlalu tamak. Dalam pelaburan mahupun perdagangan saham, sebelum membuat sesuatu transaksi jual beli saham, para pelabur dan pedagang perlu menetapkan objektif iaitu had keuntungan dan kerugian (take profit and stop loss).

 

Ini penting sebagai pelabur atau pedagang, kita perlu elakkan daripada bersikap tamak kerana sesiapa yang begitu tamak sehingga mereka mengambil atau mengabaikan risiko yang berlebihan, ia akan menyebabkan kerugian besar yang tidak tertanggung.

 

Babi sinonim dengan ketamakan dan ketidaksabaran, dan sering kehilangan besar di pasaran. Disini pig sebenarnya merujuk kepada pelabur yang sanggup mengambil atau mengabaikan risiko.

 

Mereka mahu meraih wang tunai sebanyak yang mereka boleh dalam masa yang sesingkat yang mungkin. Mereka juga melabur berdasarkan petua dan emosi dan bukannya bersandarkan analisis asas mahupun teknikal.

 

Kaitan Dengan Psikologi Pasaran Saham Dan Prinsip Teori Dow

Salah satu psikologi pasaran saham yang tersohor, sejarah cenderung untuk berulang. Ini kerana pergerakan harga saham yang cenderung untuk berulang dikaitkan dengan psikologi pasaran berdasarkan emosi pedagang saham iaitu ketakutan atau ketamakan (fear and greed).

 

Ini berdasarkan logik bahawa ketakutan yang berlebihan cenderung menurunkan harga saham kerana pedagang mula menjual saham apabila banyak berita negatif membanjiri pasaran dan terlalu banyak ketamakan cenderung menaikkan harga saham (kesan bertentangan).

masmed

Ini menyebabkan pergerakan pasaran akan menurun kemudian menaik dan pergerakan ini akan sentiasa berulang.

 

Manakala menurut salah satu prinsip dari Teori Dow iaitu major trends have three phases, menyatakan bahawa terdapat tiga fasa yang berbeza untuk setiap trend utama yang berlaku untuk pasaran pergerakan harga menaik (bull) dan pasaran pergerakan harga menurun (bear market).

 

 

Pada permulaan pasaran pergerakan harga menaik, ia bermula dengan fasa pengumpulan oleh pelabur dan pedagang yang paling bijak (most smart bulls) yang biasanya terjadi pada akhir pasaran pergerakan harga menurun apabila semuanya kelihatan teruk dari sudut ekonomi.

 

Pada fasa ini kebanyakan mereka bersifat pesimistik dan menjangka yang pasaran hanya akan menjadi lebih buruk berdasarkan prestasi kewangan syarikat, data ekonomi dan perkara yang berkaitan.

 

Tetapi sebaliknya bagi pelabur dan pedagang yang paling bijak. Melalui analisis saham, mereka tahu yang pasaran telah berada pada tahap rendah dan mereka mula membeli saham dalam jumlah yang besar pada harga yang rendah secara teratur dalam fasa ini.

 

Semasa fasa penyertaan awam, sentimen negatif terhadap pasaran mula hilang apabila keadaan perniagaan bertambah baik dengan pertumbuhan pendapatan dan data ekonomi yang semakin kukuh. 

 

Ini menandakan pergerakan trend utama baharu yang merujuk kepada pasaran pergerakan harga menaik. Apabila berita baik mula membanjiri pasaran, maka berpusu-pusulah pelabur serta pedagang yang lain mengambil bahagian dengan membeli saham dalam jumlah yang banyak dan menyebabkan harga naik lebih tinggi.

 

Apabila pasaran meningkat lebih tinggi, walaupun orang yang tidak pernah terlibat dengan pasaran saham mula mengambil perhatian dan bahagian. Ini menandakan pengakhiran buat pasaran pergerakan harga menaik. Terdapat banyak macam spekulasi mula timbul untuk menghalalkan mereka untuk turut serta dalam trend ini sehingga sanggup mengambil dan mengabaikan risiko yang berlebihan.

masmed

Mereka mengharapkan keuntungan akan berterusan dan harga pasaran akan terus meningkat. Malang buat mereka, seperti babi yang menunggu masa untuk disembelih, sebenarnya mereka membeli saham pada tahap harga yang paling tinggi atau berlebihan. Sebenarnya ini adalah kemuncak sebelum pasaran akan menukar pergerakan kepada pasaran pergerakan harga menurun.

 

Pasaran pergerakan harga menurun bermula dengan fasa pengedaran di mana pelabur dan pedagang yang paling bijak (most smart bears) mula menjual saham mereka.

 

Dalam fasa ini juga, sentimen keseluruhan untuk pasaran saham masih berada dalam keadaan optimis, di mana masih terdapat pembelian berterusan di pasaran. Apabila fasa ini berakhir, pergerakan pasaran akan bertentangan dan harga mula menurun. Emosi pelabur dan pedagang yang lewat mengambil bahagian mula bertukar.

 

Memasuki fasa seterusnya, fasa penyertaan awam yang serupa seperti terdapat di pasaran pergerakan harga menaik. Semasa fasa ini berlaku, penjualan meningkat kerana perniagaan mula mencatat kemerosotan pendapatan serta kerugian dari pelaburan. Ini disebabkan oleh keadaan ekonomi yang mula teruk dan hampir keseluruhan pasaran bertukar merah.

 

Apabila laporan negatif ini keluar dan membanjiri media masa, kebanyakan pelabur dan pedagang menjual pegangan saham mereka kerana mereka sedar bahawa ini adalah masa yang terbaik walaupun hanya mendapat keuntungan yang sedikit. Pembelian saham di pasaran dilihat mula perlahan dan menyebabkan harga menjunam lebih teruk.

 

Di fasa terakhir pasar pergerakan harga menurun, mereka yang membeli pada fasa berlebihan mula bersifat panik. Tiada tanda yang ekonomi akan pulih dalam tempoh terdekat dan mereka mula menjual pegangan saham pada harga yang rendah dan menyebabkan pasaran terus menurun ke tahap yang lebih rendah.

 

Mereka terpaksa menanggung kerugian yang besar akibat sikap tamak yang berlebihan. Di kala pasaran kelihatan semakin teruk, sebenarnya bagi pelabur dan pedagang yang paling bijak, ini adalah permulaan fasa pengumpulan.

 

Ia sebenarnya menunjukkan yang kitaran pasaran saham akan sentiasa berulang – menurun dan menaik. Bulls yang pintar akan sentiasa membeli saham dari pigs, sama juga seperti bears yang pintar yang sentiasa menjual saham mereka kepada pigs.

 

Malangnya, pigs akan selalu disembelih kerana mereka tidak memikirkan apa-apa kecuali cuba merebut sebanyak mana yang boleh disebabkan sifat TAMAK. Seladang dan beruang tetap terus hidup dalam apa jua keadaan pasaran, tetapi babi?

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Ketua Jabatan Penjenamaan Korporat Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi MARA
Portfolio Tags