Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Volatiliti - 16 December 2020

Selamat Tinggal Kemeruapan dan Ketidakpastian Pasaran Saham 2020

 

TAHUN 2020 menyaksikan pasaran saham di Malaysia melalui fasa baharu yang jarang berlaku sebelum ini.  Ini adalah disebabkan oleh global yang berlaku sepanjang tahun 2020 ini.

 

Kemeruapan (volalitity) dan ketidakpastian (uncertainty) pasaran saham ini merisaukan pelabur dan pedagang saham. Menurut Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan,Ketua Pegawai Eksekutif Inter-Pacific Asset Management Sdn Bhd, sebelum ini pelabur dan pedagang saham hanya biasa dengan dua jenis binatang dalam pasaran saham iaitu “bull” (lembu jantan) dan “bear” (beruang). Pasaran bull ini mengambarkan pergerakan naik dan pasaran bear mengambarkan pasaran yang menurun.

 

oku
ARCA lembu jantan dan beruang menghiasi halaman hadapan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

 

Dalam tahun ini, muncul istilah baru yang bagi mengambarkan pasaran saham. Isitlah baru ini juga melibatkan binatang iaitu kangaru. Pasaran kangaru merujuk kepada pasaran yang melompat naik secara mendadak atau drastik dan turun juga secara mendadak tanpa sokongan yang kuat daripada signal secara menaik atau menurun.

 

Ini dilambangkan dengan ciri-ciri kangaru ini yang melompat-lompat untuk berjalan. Kemeruapan dan ketidakpastian pasaran saham ini menyebabkan ramai pelabur atau pedagang saham tidak dapat meraih pulangan yang baik kerana pasaran bergerak dengan begitu cepat.

 

 

oku
Kanggaru

 

Bermula Mac 2020, akibat penularan wabak COVID-19 telah menjadi mimpi yang menakutkan buat semua pelabur dan pedagang saham. Pada pertengahan Mac  2020 yang lalu, kejatuhan Wall Street antara yang terburuk semenjak 1987.

 

Dow Jones Industrial Average ditutup pada 2,350 mata atau 10% kepada 21,200.62 manakala Indeks S&P 500 jatuh 9.5% kepada 2,480.64, sementara Indeks Komposit Nasdaq merosot 9.4% kepada 7,201.80.

 

Selepas ketidakpastian pasaran saham akibat COVID-19, pasaran terus menjadi tidak menentu akibat perang harga minyak Rusia–Arab Saudi yang tercetus sekitar Mac juga yang mana Arab Saudi  bertindak balas terhadap penolakan Rusia untuk mengurangkan pengeluaran minyak untuk menjaga harga minyak pada tahap sederhana.

 

Konflik ekonomi ini mengakibatkan penurunan harga minyak pada musim bunga 2020, dengan harga menjadi negatif pada April  2020. Pengeluaran minyak tidak dapat dihentikan sepenuhnya, tetapi tahap pengeluaran serendah mungkin menghasilkan penawaran yang jauh lebih besar daripada permintaan, oleh itu memegang masa depan minyak bersedia membayar untuk memunggah kontrak minyak yang tidak dapat mereka simpan. 

 

Akibatnya, Arab Saudi memulakan perang harga dengan Rusia, yang memudahkan penurunan harga minyak sebanyak 65% setiap suku tahun. Perkara ini juga mengakibatkan kemeruapan dan ketidaktentuan harga pasaran saham global.

 

Senario di Malaysia pula, pada minggu kedua Mac juga, Bursa Malaysia menerima tamparan penjualan panik serantau itu dengan memperlihatkan indeks FBM KLCI dibuka rendah 55.67 mata atau 3.92% kepada 1,363.76.

 

Selepas berlegar antara 1,320.96 dan 1,369.00 mata, indeks penanda aras pasaran saham tempatan itu ditutup 74.68 mata atau 5.26% lebih rendah kepada 1,344.75, paras terendahnya dalam tempoh sembilan tahun.

 

Dalam kemeruapan dan ketidakpastian harga saham di Malaysia, tiga saham yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan telah menggembirakan pelabur dan pedagang saham. Hal ini, menyokong ungkapan pada setiap masalah pasti ada peluang.

 

Kenaikan harga saham bagi saham berkaitan kesihatan seperti Hartalega Holdings Bhd, IHH Healthcare Berhad dan Top Glove Corporation Berhad memberi peluang kepada pelabur dan pedagang saham meraih keuntugan yang tinggi.

 

oku

 

Kenaikan harga saham ini didokong oleh kesedaran masyarakat tentang kesihatan dan kebersihan dan permintaan yang tinggi terhadap produk getah seperti sarung tangan dan peralaran pelindungan diri (PPE). Namun begitu pelabur dan pedagang di Malaysia masih berhati-hati dalam keadaan kemeruapan dan ketidakpastian harga saham ini.

 

Selepas Belanjawan Malaysia 2021 dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, pasaran saham di Malaysia bertindak balas secara positif.  Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup tinggi 1.21% atau 18.15 mata berbanding ketika dibuka pada 1,500.80 pada hari pembentangan Belanjawan dibentangkan.

 

Bursa Malaysia berada pada paras 1,512.98 mata sebelum melonjak 6.66 mata kepada 1,519.64 dalam tempoh kurang sejam sebelum sesi dagangan ditutup pada hari tersebut. Ini menunjukan sentimen yang baik bagi pasaran saham. Pasaran saham di Malaysia terus menunjukkan reaksi yang lebih baik selepas Belanjawan 2021 diluluskan oleh Parlimen dengan melepasi paras 1,600 iaitu 1,610 mata.

 

Kini, di hujung tahun 2020 ini, pertengahan bulan Disember ini, Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) utama melepasi paras psikologi pada 1,700 dan bersedia untuk melangkah ke tahun baharu dengan pengembangan yang pesat.

 

Sentimen positif dalam pasaran berjaya mengimbangi pengaruh pasaran yang lemah seperti penurunan penarafan oleh Fitch, data ekonomi yang tidak menggalakkan dan kejutan luaran. Selain itu, asas dalam pasaran tempatan mengukuh berikutan pelabur kini melihat Bursa Malaysia sebagai pasaran selamat dengan pembetulan di Amerika Syarikat (AS).

 

aaa

 

Ini dapat dibuktikan dengan kenaikan FBMKLCI meningkat lima hari berturut-turut dari 7 Disember hingga 11 Disember dengan peningkatan 62.73 mata kepada 1,684.58 daripada 1,621.85 yang dicatatkan pada minggu sebelumnya.

 

Nilai ini dilihat tinggi jika dibandingkan dengan jumlah mata yang tinggi yang pernah dicatatkan sebelum ini pada Julai 2019. Kenaikan yang tinggi ini juga disokong oleh pengumuman kerajaan Malaysia berikutkan pembekalan vaksin COVID-19 pada tahun hadapan.

 

Semua pelabur dan pedagang saham yakin dengan adanya vaksin ini bakal membawa kepada pemuliharaan ekonomi semula pada 2021. Selain itu, pergerakan  positif juga dilihat apabila Indeks FBM Emas melonjak 344.99 mata kepada 12,085.71, Indeks FBMT 100 naik 354.78 mata kepada 11,848.74, FBM 70 juga naik 120.46 mata kepada 15,370.01 dan Indeks FBM ACE meningkat 446.13 mata kepada 11,071.1.

 

Semua pelabur dan pedagang saham mengharapkan sinar yang lebih baik untuk meraih lebih banyak keuntungan pada tahun 2021 nanti berikutan tanda-tanda perkembangan yang positif ini. - DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah seorang pensyarah kanan dan pelabur tegar di  Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags