Selangor anjur siri dialog industri maya bantu kelangsungan PKSM | DagangNews Skip to main content

Selangor anjur siri dialog industri maya bantu kelangsungan PKSM

Siri dialog industri Selangor

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Kerajaan negeri Selangor mengambil pendekatan menganjurkan siri dialog industri secara maya sebagai platform komunikasi perusahaan kecil dan sederhana serta mikro (PKSM) untuk berkongsi cabaran dan visi masa hadapan.

Ketua Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Industri, Perdagangan dan PKS Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, siri dialog berkenaan secara tidak langsung memberi kesedaran terhadap sumbangan industri dan PMPKS serta cabaran yang dihadapi golongan berkenaan sepanjang wabak COVID-19.

"Siri ini akan mempamerkan cabaran yang dihadapi oleh 10 sektor dalam Selangor selama wabak Covid-19.

"Ia adalah peluang untuk PMPKS berkongsi cabaran yang dihadapi mereka, rancangan pemulihan pasca COVID-19 dan dan bagaimana inisiatif mesra PKS Kerajaan Negeri Selangor telah menyokong mereka supaya ekonomi dapat terus berkembang," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Teng Chang Khim
Teng Chang Khim

 

10 sektor yang menjadi penekakan dalam siri dialog berkenaan ialah sains dan teknologi, peruncitan, pertanian dan perikanan, logistik, pelancongan, makanan dan minuman, e-dagang, industri perfileman, pembangunan hartanah dan industri kecantikan.

Siri dialog berkenaan turut menampilkan tetamu jemputan hebat yang akan berkongsi pandangan dan input berguna.

Antara barisan tetamu jemputan adalah seperti berikut;

  1. Pengasas salun rambut terkemuka, A Cut Above, Datin Winnie Loo 
  2. Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah & Perumahan cawangan Selangor (REHDA Selangor), Datuk Ho Hon Sang
  3. Pengerusi Persatuan Kabajikan Nelayan dan Peniaga-Peniaga Ikan Sekinchan, Selangor, Chia Tian Hee 
  4. Bekas Ketua Pengarah Perbadanan Pembangunan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman  
  5. Pengarah Urusan Lalamove, Ong Shen Loong 
  6. Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Ng Wan Peng 


Siri dialog itu akan mula disiarkan esok (20 Oktober), pukul 8 malam dengan tajuk 'Impak COVID-19 terhadap Sains dan Teknologi di Malaysia'.

Orang ramai yang berminat untuk menonton dan mendapatkan maklumat siri dialog berkenaan, boleh mendapatkannya melalui pautan http://bit.ly/OfficialTengChangKhim. - DagangNews.com

 

Berikut merupakan jadual tanyangan siri dialog industri Selangor;

Jadual tanyangan siri dialog industri Selangor