Selangor, KL dan Putrajaya dikenakan PKPB bermula 14 Oktober | DagangNews Skip to main content

Selangor, KL dan Putrajaya dikenakan PKPB bermula 14 Oktober

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa pukul 12.01 tengah malam, 14 Oktober hingga 27 Oktober 2020. 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perkara demikian selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) dan mengambil kira kes peningkatan dan penularan yang berlaku, seperti di Klang dan Petaling serta Gombak dan dearah-daerah lain. 

“Sidang khas hari ini mendengar pengesahan berhubung peningkatan kes-kes positif di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Walaubagaimanapun, semua kegiatan ekonomi di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dibenarkan beroperasi seperti biasa. Senarai prosedur operasi standard (SOP) lanjut dan lebih terperinci akan diumumkan oleh MKN dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media khas hari ini. 

Ini bermaksud, pergerakan keluar masuk atau merentas daerah adalah tidak dibenarkan.

Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan. 

Hanya dua  orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan. 

“Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup. 

“Masjid dan rumah ibadat bukan Islam lain adalah ditutup. Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan adalah tidak dibenarkan. 

“Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan,” katanya.

Selain tiga negeri itu,  MKN hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPB di seluruh negeri Sabah berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini sehingga 26 Oktober 2020.

“Bagi sektor perniagaan dan perkilangan termasuk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang ingin beroperasi boleh memohon daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah,” tambah Ismail Sabri. - DagangNews.com