Skip to main content

Selepas 90 tahun, Revlon akhirnya tumbang

Revlon Inc telah memfailkan kebangkrapan awal bulan ini.
oleh Nik Nur Shafika Mustafa

REVLON Inc, akhirnya tumbang selepas 90 tahun berada dalam pasaran kosmetik di dunia. Revlon telah memfailkan perlindungan muflis selepas bergelut dengan cabaran global dan  mempunyai hutang jangka panjang yang tinggi.

 

Pemfailan muflis dibuat beberapa hari selepas Wall Street Journal melaporkan Revlon telah memulakan perbincangan dengan pemberi pinjaman menjelang tempoh matang hutang yang semakin hampir untuk mengelakkan muflis.

 

Kenali Revlon

Revlon Inc. ialah syarikat kosmetik, penjagaan kulit, wangian dan penjagaan peribadi multinasional Amerika Syarikat yang ditubuhkan pada tahun 1932 dan berpangkalan di New York City. Revlon diasaskan  oleh Joseph Revson dan Charles Lachman.

 

Pada tahun 1985, Revlon dijual kepada MacAndrews & Forbes dan dibuka kepada umum 11 tahun kemudian.

 

Revlon telah membeli Elizabeth Arden pada tahun 2016 dengan perjanjian AS$870 juta bagi mengukuhkan perniagaannya. Revlon juga turut mendapatkan “bintang” hebat bagi mengukuhkan jenamanya. Antara bintang yang bersama Revlon seperti Britney Spears dan Chirstina Aguilera.

 

 

revlon
Iklan Revlon untuk pengguna di Malaysia. - Gambar hiasan

 

Kenapa muflis?

Selain hutang jangka panjang yang dimiliki Revlon, syarikat ini berdepan dengan cabaran global yang tidak menentu ini  dan persaingan dengan jenama baharu yang sangat kompetitif sejak kebelakangan ini.

 

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Revlon telah menghadapi peningkatan persaingan daripada jenama baharu seperti yang disokong oleh selebriti seperti Kylie Cosmetics dan Fenty Beauty Rihanna.

 

Gangguan rantaian bekalan, peningkatan inflasi dan kekurangan tenaga kerja terus menghimpit Relvon dari terus berjuang mempertahankan syarikat yang telah lama dalam sektor kosmetik ini.

 

Gangguan rantaian bekalan telah menyebabkan persaingan sengit untuk bahan-bahan yang digunakan dalam kosmetik.

 

Pembekal kosmetik meminta untuk membuat bayaran pesanan terlebih dahulu sekali gus menyebabkan kekurangan bahan-bahan yang diperlukan di seluruh portfolio syarikat.

 

Sebagai contoh, satu tiub gincu Revlon memerlukan 35 hingga 40 bahan yang setiap satunya penting untuk membawa produk itu ke pasaran.

 

 

revlon

 

Dijangkakan Revlon bakal menerima sejumlah AS$575 juta (RM2.53 bilion) daripada pemberi pinjaman sedia ada untuk menyokong operasi harian syarikat ini.

 

Gagal atasi pesaing

Kegagalan Revlon bertahan bukan kerana pandemik semata-mata. Rentetan kegagalan Revlon ini sudah bermula semenjak 1980an lagi apabila Estée Lauder berpangkalan di New York mula menguasai pasaran kosmetik.

 

Prestasi Revlon pula kian merosot. Namun begitu, Relvon telah “diselamatkan” oleh Ronald Parel dengan membeli junk bond syarikat ini pada tahun 1985.

 

Persaingan sektor kosmetik telah membelenggu Revlon pada tahun 1990-an.  Persaingan menjadi semakin sengit apabila P&G yang merupakan salah sebuah syarikat konglomerat turut memasuki pasaran kosmetik dengan produk kosmetik Olay dan SK-II.

 

Semenjak itu, perkembangan Revlon tidak menunjukkan perkembangan positif sebaliknya semakin merudum.

 

 

Kylie Jenner

 

 

Terbaru, persaingan dengan syarikat kosmetik baru seperti Kylie Jenner telah menyebabkan Revlon tidak mampu bersaing dengan pesaing-pesaing utamanya.

 

Bebanan Hutang AS$3.3 bilion

Relvon memang tidak mampu bertahan lagi selepas memiliki hutang jangka masa panjang sekitar AS$3.3 bilion.

 

Bagi menyelesaikan hutang ini, Relvon sedang berbincang dengan pemberi pinjaman untuk menganjakkan tarikh akhir pembayaran hutang ke satu tempoh masa yang lebih panjang.

 

Di dalam perbincangan itu juga, Revlon dilihat perlu membayar hutang sebanyak $1.7 bilion seawal September 2023 dan separuh yang lain akan dibayar menjelang 2024.

 

 

revlon
Ibu pejabat korporat Revlon di New York.

 

 

Harga saham Revlon jatuh

Selepas laporan mengenai kebankrapan Revlon, harga saham Revlon terus bertindak balas.

 

Sahamnya rugi lebih daripada 51.53% dalam dagangan New York selepas pengumuman itu.

 

Kejatuhan daripada harga AS$4.23 sesaham kepada AS$2.05 sesaham pada 10 Jun yang lalu.

 

Tiada lagi Revlon dalam pasaran

Selepas ini, tiada lagi produk kosmetik Revlon. Pastinya ramai wanita sekitar tahun 80an masih memakai produk ini kerana kesetiaan mereka kepada produk ini.

 

Produk Revlon ini  sangat dikenali sebelum ini kerana ia dijual di hampir 150 buah negara.

 

 

revlon

 

 

Walaupun sebenarnya pasaran untuk produk kosmetik merupakan perniagaan yang menguntungkan yang kini bernilai lebih daripada AS$100 bilion namun nasib tidak menyebelahi Revlon.

 

Revlon bakal tinggal sebagai sejarah kosmetik dunia! – DagangNews.com

 
Nik Nur Shafika Mustafa merupakan Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Johor