Semak turun Fitch tidak bantutkan pemulihan negara - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Semak turun Fitch tidak bantutkan pemulihan negara - Tengku Zafrul

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Dis. - Penilaian semak turun oleh agensi penarafan antarabangsa, Fitch Ratings ke atas kredit Malaysia dari A- kepada BBB+ tidak akan membantutkan pemulihan ekonomi negara, tegas Menteri Kewangan. 

 

Kata Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, walaupun semakan semula penarafan itu tidak menentang arus penilaian global, namun kerajaan telah menyuarakan pendirian bahawa keputusan tersebut tidak cukup mempertimbangkan keberhasilan pelaksanaan pakej-pakej rangsangan. 

 

Ini berikutan, sejak usaha berkenaan dilaksanakan, ekonomi Malaysia mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan. 

 

“Antaranya termasuk penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih perlahan kepada -2.7% pada suku ketiga 2020 (3Q20), antara terbaik di ASEAN dan pengekalan lebih 2.8 juta pekerjaan melalui Program Subsidi Upah (PSU) yang membawa kadar pengangguran menurun dan stabil iaitu 5.3% pada Mei kepada 4.7% pada Oktober 2020. 


 

“Inisiatif Belanjawan 2021 akan meneruskan momentum pemulihan dan dijangka menyumbang kepada sasaran pertumbuhan KDNK antara 6.5% hingga 7.5% pada tahun hadapan. Ramai Ahli-Ahli Berhormat menyatakan unjuran ini terlalu optimisik, namun Fitch sendiri mengunjurkan pertumbuhan pada kadar 6.7% sejajar dengan unjuran Malaysia. 

 

“Institusi lain seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pula mengunjurkan 7.8% iaitu lebih tinggi daripada unjuran kerajaan. Ini secara amnya menunjukkan keyakinan terhadap kebolehan ekonomi Malaysia untuk melonjak kembali,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. 

 

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta Kementerian Kewangan untuk menyatakan langkah menangani keputusan mengejut Fitch menyemak turun penarafan kredit Malaysia.

 

Baca : Penarafan Fitch - Apa sebenarnya pendirian PH?


 

Walaupun disemak turun, namun tinjauan lebih baik diberikan ke atas kredit Malaysia daripada negatif kepada stabil.

 

Semakan semula itu didorong oleh kesan negatif pandemik COVID-19, keadaan kewangan negara dan situasi politik semasa.


 

Tambah Tengku Zafrul, sejak penilaian itu diumumkan, pasaran saham Malaysia tidak menerima sebarang ‘knee jerk reaction’ di mana FBM KLCI dan ringgit kekal stabil. 

 

“Kita mencatatkan permintaan tinggi iaitu 2.6 kali melebihi nilai tawaran bon kerajaan sepuluh tahun yang diterbitkan minggu lalu.


 

“Dalam kata mudahnya, keyakinan pelabur terhadap pasaran modal negara jangka panjang masih kukuh,” tegas Tengku Zafrul. - DagangNews.com