Semua negara perlu saling membantu pulihkan ekonomi dunia, kata Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Semua negara perlu saling membantu pulihkan ekonomi dunia, kata Muhyiddin

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 20 Okt – Semua kerajaan di dunia perlu bekerja rapat, di dalam menangani impak COVID-19 secara bersama, terutama dalam menghadapi peningkatan membimbangkan kes-kes kemiskinan.

 

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua negara perlu mengguna pakai, sekurang-kurangnya pendekatan bersama semasa bergerak ke hadapan di dalam landskap global pasca COVID-19.

 

Bekas perdana menteri itu berkata, rakyat setiap negara telah mempamerkan solidariti antara satu sama lain, dan dengan kerajaan masing-masing semasa krisis ini, sekarang semua mahu lihat kerajaan-kerajaan berkenaan bersedia mengamalkan semangat solidariti serupa dan secara bersama meningkatkan kemakmuran yang akan membantu semua pihak.

 

‘’Janganlah ada negara mengaut keuntungan daripada kelemahan ekonomi negara lain dan janganlah ada negara mengambil kesempatan daripada penderitaan negara lain.

 

‘’Kita hendaklah menyokong antara satu dengan yang lain, saling memperkasa dan beroperasi tanpa pentingkan diri di mana kejayaan dan pemulihan sesebuah negara, menguntungkan semua.

 

‘’Dan falsafah ini mestilah digambarkan di dalam perdagangan, pelaburan dan semua bidang Kerjasama antarabangsa,’’ kata Muhyiddin.

 

Beliau berkata demikian semasa merasmikan webinar : Membasmi Kemiskinan Tegar dan Fasa Seterusnya bersempena Hari Antarabangsa Bagi Membasmi Kemiskinan anjuran bersama Institut Masa Depan Malaysia (MASA) dan Institut Pengurusan dan Penyelidikan Kemiskinan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini hari ini.

 

 

Muhyiddin

 

 

Pengalaman Malaysia kata Muhyiddin, menuruti pelan hala tuju pemulihan yang diwujudkan semasa beliau menjadi perdana menteri, Malaysia kini bergerak ke arah pengakhiran krisis kesihatan.

 

Program Vaksinasi COVID-19 seluruh negara misalnya, merupakan kisah pencapaian luar biasa Malaysia semasa tempoh yang sukar dan mencabar ini, ujar beliau.

 

‘’Menerusi program tersebut, Malaysia kini mendahului jadual untuk memulihkan ekonomi, dengan kadar vaksinasi orang dewasa melepasi paras 90%.

 

``Semua itu dan banyak lagi yang telah dirancang teliti dan disusun dibawah Pelan Pemulihan Negara, empat fasa strategi keluar dari krisis COVID-19, yang saya lancarkan pada Jun lalu, dan sukacitannya saya nyatakan bahawa kita dengan giat sudah mencapai matlamat tersebut,’’ katanya.

 

Secara keseluruhan kata Muhyiddin, terdapat banyak dimensi dan perancangan ke arah memerangi kemiskinan.

 

Namun katanya, yang kekal penting ialah bilangan besar menyalurkan bantuan dan pertolongan juga disokong menerusi fokus baharu untuk memastikan bantuan yang disasarkan itu mencapai tujuannya dan orang yang benar-benar memerlukannya.

 

Begitu juga, langkah-langkah dan perancangan perlindungan sosial hendaklah digabungkan menerusi usaha pembaharuan ekonomi berskala besar supaya ia dapat memulihkan ekonomi negara di semua sektor.

 

‘’Tidak dinafikan bahawa hanya menerusi pertumbuhan ekonomi lebih besar, baharulah kita boleh membawa rakyat keluar dari kitaran kejam kemiskinan.

 

‘’Usaha-usaha pemulihan sahaja tidak dapat memecahkan kitaran tersebut tetapi peluang, inovasi dan integrasi boleh merubah penerima bantuan menjadi peserta di dalam keseluruhan pemulihan ekonomi negara,’’ kata Muhyiddin. – DagangNews.com