Semua pasaran ekuiti Asia catat aliran negatif kecuali Malaysia | DagangNews Skip to main content

Semua pasaran ekuiti Asia catat aliran negatif kecuali Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Jun - Semua pasaran ekuiti di Asia mencatatkan aliran keluar bersih negatif pada minggu lalu, kecuali Malaysia. 

 

Di peringkat Malaysia, pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih pasaran ekuiti tempatan selepas menjual bersih untuk dua minggu berturut-turut, menurut MIDF Research. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, pembelian bersih berkenaan menyaksikan aliran masuk asing bernilai RM75.68 juta pada minggu lalu yang berakhir 18 Jun 2021. 

 

“Minggu lalu menandakan pembelian bersih mingguan kali ke-7 oleh pelabur asing daripada 24 minggu terkumpul setakat ini, pada tahun semasa. 

 

“Sebaik sahaja pasaran dibuka semula pada Isnin lalu, pelabur asing membeli bersih ekuiti tempatan bernilai RM98.86 juta, dengan pelabur runcit dan institusi tempatan, kedua-duanya merupakan penjual bersih, bernilai -RM1.14 juta dan -RM97.72 juta,” jelas MIDF dalam satu nota kajiannya hari ini.

 

Bagaimanapun, pelabur asing didapati menjual bersih hampir setiap hari pada minggu lalu, dengan pembelian bersih berlaku pada Isnin dan Jumaat, tambah MIDF lagi. 

 

Ujar MIDF, pembelian bersih pada hari Jumaat 'menolak' tekanan penjualan pada minggu berkenaan kerana pelabur asing membeli bersih ekuiti bernilai RM314.32 juta.

 

Aliran keluar asing dicatatkan pada Khamis bernilai -RM164.78 juta.

 

“Bagi pelabur runcit pula, mereka merupakan pembeli bersih setiap hari kecuali pada Isnin. Pembelian bersih terbesar oleh pelabur runcit dicatatkan pada Khamis, RM87.85 juta dan terendah pada Selasa. 

 

“Secara terkumpulnya pada minggu lalu, pelabur runcit membeli bersih RM227.45 juta nilai ekuiti di Bursa Malaysia,” kata MIDF lanjut.

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan mencatatkan aliran masuk mingguan bernilai -RM303.13 juta. 

 

Penjualan bersih terbesar yang dilakukan mereka adalah pada Jumaat bernilai -RM327.90 juta, menurut MIDF. 

 

Setakat ini bagi tahun 2021, hanya pelabur runcit yang membeli bersih di pasaran ekuiti Malaysia bernilai RM7.32 bilion. 

 

Pelabur institusi tempatan dan asing pula menjual bersih, masing-masing bernilai -RM3.97 bilion dan -RM3.34 bilion. - DagangNews.com